Oplus_16908288

KUALA LUMPUR, 14 APRIL 2025 — Barisan kepimpinan baharu Angkatan Muda Keadilan (AMK) Gombak bagi sesi 2025–2027 telah mengangkat sumpah untuk memikul tanggungjawab memacu perjuangan anak muda di kawasan ini. Ketua AMK Gombak yang baharu, Haris Harahap, menyampaikan ucapan penghargaan kepada seluruh anggota atas kepercayaan yang diberikan kepada pasukannya.

Haris mengumumkan barisan kepimpinan teras yang terdiri daripada Mohd Hayee Zailani sebagai Timbalan Ketua dan Danial Amsyar sebagai Naib Ketua. Beliau menegaskan komitmen penuh pasukannya untuk memperkukuh AMK Gombak serta menyokong kepimpinan Cabang Gombak dan Parlimen Gombak di bawah YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, katanya dalam satu kenyataan Medianya hari ini.

Barisan ini bertekad meneruskan visi dan misi perjuangan anak muda dengan empat teras utama: mengangkat suara anak muda sebagai agenda utama, menghidupkan budaya politik berasaskan nilai, mewujudkan wadah inklusif, serta menawarkan solusi baharu untuk membina keyakinan rakyat.

Fokus utama kepimpinan baharu ini termasuk memperkukuh jentera parti, meluaskan program pemerkasaan belia, dan memastikan sokongan padu menjelang PRU-16, khususnya di dua DUN strategik, Gombak Setia dan Hulu Kelang.

Haris turut menegaskan bahawa pasukannya adalah barisan harapan yang akan meneruskan legasi perjuangan AMK sejak 1999. “Kami sedia belajar, bekerja, dan berjuang bersama seluruh keluarga KEADILAN di Gombak,” ujarnya penuh semangat.

Dengan sokongan padu ahli dan penyokong, kepimpinan baharu ini yakin dapat membawa perubahan positif serta memastikan aspirasi anak muda terus didengar dan dilaksanakan.

Leave a Reply