
KUALA LUMPUR, 8 September 2026 – Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) menyuarakan kebimbangan serius terhadap lambakan peniaga warga asing yang didakwa memonopoli tapak pesta dan karnival jualan sempena musim perayaan di seluruh negara.
Presiden MAICCI, Dato’ Seri Gobalakrishnan Narayanasamy menegaskan, situasi ini kian meruncing terutamanya menjelang sambutan Deepavali apabila ramai peniaga dari India, Bangladesh dan Pakistan dikesan masuk untuk berniaga secara bebas.
Menurut beliau, taktik ini digerakkan oleh segelintir pengusaha karnival tempatan yang bertindak sebagai “dalang” dengan mendaftarkan puluhan syarikat secara mudah sebelum menyewakan tapak kepada peniaga luar pada kadar mencecah RM5,000 hingga RM10,000 satu gerai.
Penganjur turut didakwa menggunakan peniaga tempatan sebagai wajah depan perniagaan semata-mata untuk mengaburi mata pihak berkuasa serta mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang dan bayaran cukai.
Keadaan ini memberi tamparan hebat kepada peniaga tempatan pelbagai kaum—Melayu, Cina dan India—yang terpaksa menanggung kos operasi tinggi seperti sewa kedai, lesen perniagaan dan komitmen cukai, manakala peniaga asing menjual produk tekstil serta barangan lain pada harga terlalu murah.
Dato’ Seri Gobalakrishnan mendedahkan MAICCI telah menyuarakan isu ini kepada kerajaan sejak lebih 10 hingga 15 tahun lalu, namun penganjur karnival semakin licik memanipulasi kelonggaran undang-undang serta menggunakan pengaruh politik dan imigresen untuk meloloskan aktiviti mereka.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya MAICCI mahu menutup periuk nasi peniaga kecil tempatan seperti penjual kacang dan biskut, sambil mendedahkan naratif palsu sengaja dimainkan di media sosial seperti TikTok untuk menjadikan golongan berkenaan sebagai perisai.
Tegasnya, sasaran MAICCI adalah dalang di sebalik tabir serta peniaga tekstil berskala besar dari luar negara yang memanipulasi pasaran sehingga merosakkan ekosistem ekonomi domestik.
Isu ini disifatkan tidak boleh dipandang remeh kerana jika dibiarkan berlarutan tanpa penguatkuasaan tegas, ia akan mengakibatkan peniaga tempatan gulung tikar selain mengundang masalah sosial yang lebih parah.
Justeru, MAICCI mendesak kerajaan dan agensi penguatkuasaan mengambil tindakan drastik menangkap dalang penganjur terbabit, di samping mengesahkan pihaknya bakal membuat laporan polis terhadap pihak yang memutar belit kenyataan mereka.
#BeritaAAC #MAICCI #PeniagaTempatan #IsuWargaAsing #EkonomiMalaysia