KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2026 – Persidangan Women Economic Forum (WEF) dan G100 Global Meet 2026 yang berlangsung selama empat hari di ibu negara melabuhkan tirainya dengan kejayaan memuktamadkan enam resolusi komprehensif bagi memperkasakan kepimpinan serta sosioekonomi wanita di peringkat tempatan dan global.

Pengerusi Penganjurnya, Datin Hajah Dr. Hartini Osman berkata, resolusi yang dirangka menerusi perbincangan 25 sesi membabitkan 71 penceramah dan moderator dari 17 buah negara itu bakal diangkat terus kepada kepimpinan negara serta antarabangsa.
Beliau memperincikan bahawa enam pilar utama tersebut merangkumi pengukuhan kemandirian ekonomi dan daya saing usahawan wanita, transformasi komuniti, pembinaan tenaga kerja adaptif melalui pendidikan inklusif, pemerkasaan etika dalam transformasi digital, kesihatan dan kesejahteraan, serta pembentukan dasar dan perkongsian perniagaan.
Antara inisiatif paling signifikan yang diumumkan termasuk penubuhan badan pemikir (think tank) Global Women’s Bank melibatkan perwakilan daripada 18 buah negara bagi mempercepatkan pelancaran bank digital khusus demi membuka akses pembiayaan kepada golongan wanita yang sukar mendapatkan modal.
Selain itu, sebuah platform Universal Women Business Hub turut diperkenalkan bagi menghimpunkan komuniti usahawan wanita seluruh dunia sekali gus membuka laluan pasaran yang lebih luas di pentas antarabangsa.
Menyentuh mengenai Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa, Dr. Hartini yang juga mewakili Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menegaskan komitmen badan itu yang kini menjangkau usia 36 tahun dalam membina dan membangunkan potensi modal insan.
Jelas beliau, fokus pembasmian kemiskinan tidak seharusnya terhad kepada kebajikan asas semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pembinaan jati diri serta peluang pendidikan formal dan latihan kemahiran bagi membebaskan generasi muda daripada kitaran ganas kemiskinan.
Dr. Hartini turut menekankan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama yang terbukti berkesan membantu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah menempa kerjaya profesional dan mengubah taraf hidup keluarga.
Katanya, YBK telah merintis program TVET sejak tahun 1993 bersama pemain industri terkemuka tempatan dan antarabangsa, malah berjaya melahirkan tenaga kerja mahir termasuk lepasan institusi yang kini berkhidmat di luar negara seperti Jepun.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan dan agensi berkaitan agar memperkukuh mekanisme semak dan imbang serta mengelakkan pertindihan peranan dalam penyaluran dana pembasmian kemiskinan negara.
Beliau mengingatkan agar pembaziran peruntukan bernilai bilion ringgit dielakkan dengan memastikan dana sampai kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan di kawasan pedalaman, Projek Perumahan Rakyat (PPR), dan flat bandar.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak kerajaan, agensi korporat dan pembayar zakat menjadikan NGO berpengalaman sebagai ‘rakan strategik’ dan jaringan pelaksana di lapangan bagi memastikan impak bantuan dapat dimaksimumkan secara menyeluruh.
#BeritaAAC #WEF2026 #BasmiKemiskinan #WanitaBangkit #PemberdayaanTVET