MUALLIM, 19 Oktober 2026 – Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di daerah Muallim menjadi medan terbaik buat rakyat untuk mengadu dan menyelesaikan pelbagai isu terus kepada pucuk pimpinan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, YB Salina Samsudin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas inisiatif menganjurkan program berimpak tinggi itu.
Menurut beliau, program berkenaan membawa keistimewaan tersendiri kerana menghimpunkan Menteri Besar Perak bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bagi menyantuni masyarakat setempat.
Beliau yang mesra disapa ‘Kak Ina’ berkata, penduduk di kawasannya lazimnya mudah bertemu wakil rakyat pada bila-bila masa, khususnya menerusi Klinik Rakyat pada setiap Rabu.
Bagaimanapun, kehadiran barisan kepimpinan negeri memberi kelebihan luar biasa kepada penduduk untuk menyuarakan permasalahan secara bersemuka dengan pihak pembuat dasar serta portfolio berkaitan.
”Hari ini lebih istimewa kerana mereka boleh berjumpa sendiri dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga barisan EXCO yang berkaitan bagi membawa masalah masing-masing,” katanya.
Menjelaskan lanjut mengenai penganjuran, beliau berkata program turun padang itu diadakan secara bergilir-gilir meliputi 12 daerah di seluruh negeri Perak.
Pendekatan berkenaan menyaksikan Menteri Besar meluangkan masa setiap bulan ke daerah terpilih bagi mendekati denied nadi rakyat di peringkat akar umbi.
Selain daerah Muallim, siri jelajah sebelum ini turut melibatkan beberapa daerah lain seperti Batang Padang dan Bagan Datuk.
Salina menegaskan, program berkenaan tidak hanya dikhususkan kepada warga daerah Muallim semata-mata, sebaliknya terbuka kepada seluruh penduduk negeri Perak yang ingin hadir menyuarakan isu.
Namun, beliau menyifatkan penganjuran di daerah Muallim sebagai peluang keemasan buat komuniti setempat kerana lokasinya yang dekat dan memudahkan urusan mereka.
Secara keseluruhannya, program ‘Hari Bersama Rakyat’ ini mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam mendengar serta menyelesaikan rintihan rakyat tanpa sebarang jurang.
#BeritaAAC #PerakSejahtera #HariBertemuPelanggan #SuaraRakyatPerak #Muallim