KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) tampil memberikan penjelasan terperinci serta membuat penilaian semula berhubung klasifikasi “Tiada Tindakan Lanjut” (No Further Action, NFA) membabitkan siasatan kes skim pelaburan I-Serve.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, langkah tersebut wajar diambil demi menegakkan keadilan dan melindungi hak ratusan pelabur yang terjejas teruk akibat skim berkenaan.
Kenyataan itu menyusul selepas pihak pengadu menerima maklum balas AGC bertarikh 21 Ogos 2026 yang mengesahkan bahawa kertas siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan isu terbabit telah diklasifikasikan sebagai NFA.

Tindakan menutup siasatan berkenaan mencetuskan rasa terkilan dalam kalangan pengadu yang sebelum ini telah mengemukakan permohonan dan rayuan rasmi menerusi peguam mereka pada 4 Ogos 2026.
Menurut MHO, pihak peguam pengadu berpandangan bahawa kes berkenaan wajar dinilai secara tuntas dari sudut peruntukan undang-undang jenayah yang berkaitan, dan bukan hanya dihadkan kepada tindakan pentadbiran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semata-mata.

Pihak pengadu turut menarik perhatian berhubung perkembangan terbaharu Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur yang dilaporkan membenarkan permohonan lebih 200 pelabur untuk mendapatkan penghakiman secara ingkar terhadap pengasasnya, Allan Goh, serta syarikat-syarikat berkaitan pada akhir Julai lalu.
Mengulas perkara itu, Hishamuddin mengakui bahawa penghakiman secara ingkar dalam prosiding sivil tidak secara automatik membuktikan berlakunya kesalahan jenayah ekoran perbezaan standard pembuktian mahkamah.
”Walau bagaimanapun, perkembangan keputusan sivil tersebut wajar dipertimbangkan oleh pihak berkuasa bagi menilai sama ada wujud maklumat material baharu yang relevan dalam konteks siasatan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MHO menyokong penuh gesaan agar AGC menyatakan alasan kukuh di sebalik ketetapan NFA tersebut, selain menyemak sama ada keputusan mahkamah sivil berkenaan telah diambil kira sebelum keputusan dibuat.
MHO turut menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan keperluan membuka siasatan lanjut sekiranya wujud asas perundangan mencukupi, memandangkan kes ini melibatkan kerugian berskala besar dan menyentuh kepentingan awam.
Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan tersebut memohon agar AGC membuka ruang kepada mangsa dan peguam untuk menyerahkan dokumen serta maklumat sokongan tambahan bagi membantu proses pertimbangan semula.
Jelas beliau, desakan tersebut sama sekali bukan berniat mendahului proses mahkamah atau bidang kuasa pihak pendakwaan, sebaliknya memastikan proses semakan dijalankan secara telus, menyeluruh dan adil demi memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti sistem perundangan negara.
#BeritaAAC #IServe #MHO #TuntutKeadilan #IsuSemasa