
SHAH ALAM, 20 Oktober 2026 – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Selangor didesak agar bersikap telus, adil dan segera mengambil tindakan tegas berhubung dakwaan salah laku serta penyelewengan dana pengurusan sebuah kuil terkemuka di Subang Jaya.
Gesaan tersebut disuarakan oleh Aktivis Sosial merangkap Koordinator Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar, susulan penyerahan satu memorandum khas di pejabat ROS Selangor hari ini bersama sekumpulan penganut agama berkenaan.
Menurut beliau, isu tersebut melibatkan Kuil Sri Varatharajah Perumal yang didakwa telah melanggar Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966 akibat kegagalan mematuhi perlembagaan pertubuhan, termasuk tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) mengikut ketetapan yang sepatutnya sebelum bulan Jun.
Beliau mendedahkan bahawa penyelewengan mula terbongkar menerusi laporan kewangan di bawah Seksyen 66, apabila salah seorang juruaudit enggan menurunkan tandatangan selepas mendapati sejumlah RM417,238.98 tidak didepositkan ke dalam akaun rasmi kuil sebaliknya dipercayai digunakan untuk aliran tunai luar kawalan.
Lebih mengejutkan, juruaudit yang mempersoalkan kehilangan jejak aliran tunai berkenaan dilaporkan telah disingkirkan daripada jawatankuasa kuil hanya beberapa hari sebelum ini.
Kalaivanar turut menyatakan bahawa lebih daripada 25 laporan polis dan 20 aduan bertulis rasmi telah diserahkan kepada pihak ROS sebelum ini, namun sehingga kini tiada tindakan konkrit diambil.
Bercakap kepada media selepas mengadakan protes aman selama kira-kira 30 minit, beliau meluahkan rasa kecewa apabila Pengarah ROS Selangor, Tuan Nurul Azhar Hussain, enggan keluar bertemu mereka untuk menerima sendiri memorandum tersebut.
Sebaliknya, memorandum itu hanya diterima oleh seorang wakil anggota polis yang bertugas di pejabat berkenaan, Sarjan Nur Halim Asyraf Mohammad Razali.
Beliau menyelar sikap kepimpinan jabatan tersebut yang disifatkan tidak profesional dan gagal mempamerkan akauntabiliti sebagai penjawat awam bergaji hasil cukai rakyat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak ROS segera membubarkan barisan jawatankuasa sedia ada dan melantik Jabatan Insolvensi untuk memegang serta mengaudit dana kuil buat sementara waktu sehingga jawatankuasa baharu dipilih secara sah melalui AGM.
Beliau turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, agar campur tangan dan menilai semula kebertanggungjawaban pegawai agensi di bawah kementeriannya dalam menyelesaikan krisis yang melibatkan keselamatan awam dan keharmonian penganut agama ini.
#BeritaAAC #IsuKuilSubangJaya #SkandalKewangan #ROSMalaysia #TuntutKetelusan