KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menyifatkan tindakan segelintir pihak yang mempertikaikan usaha mengumpul sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai sikap prejudis dan bersifat selektif.
Kenyataan itu merujuk kepada pandangan seorang pelajar Universiti Malaya, Umi Umairah, serta Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Fadhli Umar, yang mengkritik inisiatif derma bagi melunaskan denda RM50 juta berkenaan di sebuah forum iFuture2026 baru-baru ini.
Menurut Gulam, kutipan derma tersebut merupakan usaha dalaman ahli UMNO serta mana-mana individu yang ikhlas membantu meringankan bayaran denda yang menjadi syarat bagi pelaksanaan baki hukuman tahanan di rumah seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Beliau menegaskan, tindakan mengkritik usaha berkenaan memperlihatkan sikap dwistandard, memandangkan pihak terbabit dilihat berdiam diri dalam isu membabitkan kem politik mereka sendiri.
”Mereka berdua sebenarnya bersifat selektif dan menutup mata bila isu berpihak kepada mereka. Mengapa tidak dipertikaikan pengampunan yang pernah diberikan YDPA kepada Perdana Menteri sebelum ini?” katanya dalam satu kenyataan media.
Mengulas lanjut aspek perundangan, Gulam menjelaskan bahawa titah di dalam Lembaga Pengampunan oleh YDPA bersifat after event, di mana pengampunan diberikan selepas melalui proses mahkamah serta sebahagian hukuman penjara telah dijalankan.
Tegas beliau, hak menghulurkan sumbangan adalah kebebasan individu, dan cubaan menyekat atau memperlekeh hak orang lain hanya mencetuskan kebencian serta diskriminasi.
Dalam nada sama, Gulam turut mempersoalkan kegagalan panel terbabit bertanyakan isu-isu ketirisan besar kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang turut berada di pentas forum yang sama.
Antara isu yang dibangkitkan beliau termasuk dakwaan mafia korporat, ketirisan dana KWAP, pertikaian integriti melibatkan entiti tertentu, serta pengurusan aset berkaitan Tabung Haji yang didakwanya masih memerlukan penjelasan tuntas kepada rakyat.
Mengakhiri kenyataannya, Gulam melahirkan rasa kesal terhadap tahap wacana mahasiswa terbabit yang didakwanya tidak mencerminkan peranan universiti sebagai medan melahirkan pemikir berwibawa.
Beliau memberi amaran bahawa masa depan negara berada dalam keadaan membimbangkan sekiranya institusi menara gading gagal melahirkan barisan intelek yang objektif dan matang dalam menilai sesuatu isu perlembagaan serta perundangan.
#BeritaAAC #Bossku #PolitikMalaysia #UMNO #IsuSemasa