KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2026 – Istilah ‘Madani’ didakwa sekadar digunakan sebagai topeng untuk menghalalkan pembinaan projek perumahan berskala besar di Bukit Jalil yang bakal mengundang pelbagai masalah kepada penduduk setempat.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, projek seluas 65 ekar itu hanya memperuntukkan 1,700 unit rumah mampu milik, manakala baki 15,300 unit lagi dikategorikan sebagai rumah ‘mampu tengok’.
Menurut beliau, naratif dan gambaran optik yang kononnya memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat menerusi konsep Madani adalah tidak tepat dengan realiti sebenar pembangunan tersebut.
Kenyataan itu susulan tindakan Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok yang membangkitkan isu Projek Perumahan Madani Bukit Jalil di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Gulam menyatakan rasa musykil terhadap hujah yang dibangkitkan Teresa Kok, khususnya dakwaan ketiadaan sesi libat urus serta tanggapan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) seolah-olah tidak menghormati Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau menyifatkan situasi berkenaan sebagai ‘luar tabie’ apabila Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) didakwa seolah-olah dicabuli dalam proses perancangan kawasan terbabit.
Katanya, DBKL yang berada di bawah kawalan Menteri Wilayah Persekutuan dilihat dijadikan pihak yang bertanggungjawab memberi ‘Kebenaran Membangun’ bagi projek tersebut, meskipun pimpinan kementerian berkait berada dalam barisan pentadbiran yang sama.
Sehubungan itu, Gulam mencadangkan Teresa Kok membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib penduduk.
Beliau mempersoalkan bagaimana kelulusan boleh diberikan sedangkan beberapa proses kajian dan sesi pendengaran awam masih berjalan yang sepatutnya menjadi asas pertimbangan penting sebelum sebarang kelulusan dimuktamadkan.
Malah, Gulam turut menyatakan kesediaan untuk menemani Teresa Kok ke pejabat SPRM bagi mendesak siasatan telus dijalankan terhadap proses kelulusan berkenaan.
Mengulas lanjut, Gulam menegaskan pembangunan berkepadatan tinggi itu berisiko membebankan komuniti setempat sehingga perkataan ‘mampan’ yang dilaungkan lebih menjurus kepada kesan buruk kepada persekitaran sekiranya diteruskan.
Beliau turut mengusulkan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) agar pembatalan projek berkenaan dijadikan sebahagian daripada manifesto Wilayah Persekutuan bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, sambil mencabar Teresa Kok untuk menyatakan pendirian bersama dalam isu tersebut.
#BeritaAAC #ProjekMadaniBukitJalil #TeresaKok #UMNOBatu #IsuRakyatKL