KUALA LUMPUR – Gerakan Pulangkan Pulangkan Duit Rakyat sentiasa konsisten menyokong usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengembalikan wang rakyat berbilion ringgit yang hilang akibat pelbagai skandal kewangan di negara ini.

Memandangkan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dilantik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), maka seelok-eloknya badan bebas ini juga diletakkan di bawah pentadbiran Istana Negara.

Cadangan itu datang sendiri daripada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sendiri agar lebih banyak tanggungjawab diberi kepada Seri Paduka termasuk pemantauan secara terus terhadap SPRM.

Kami menjunjung titah Tuanku ini agar SPRM diletakkan di bawah pantauan Istana Negara dan bukannya Parlimen ketika ini.

Kami juga sedia membantu Yang di-Pertuan Agong untuk memburu semua pihak yang korup, salah guna kuasa dan terlibat dengan rasuah, baik pentadbiran sekarang mahupun sepanjang era pentadbiran 22 tahun 22 bulan lalu.

Sehubungan itu, kami menggesa SPRM tidak gentar usaha mana-mana pihak mencabar usahanya membawa mana-mana pihak ke muka pengadilan kerana SPRM perlu kekal bebas dan bukannya tunduk kepada tekanan politik.

Di kala rakyat dihimpit dengan tekanan kos sara hidup melambung tinggi, langkah SPRM untuk menokhtahkan salah guna kuasa dan salah laku rasuah harus disokong semua pihak.

Dengan kembalinya duit rakyat berbilion ringgit itu diharapkan dapat memberi kelegaan kepada ekonomi Malaysia dan lebih penting menstabilkan nilai ringgit yang jatuh teruk ketika ini.

Leave a Reply