SHAH ALAM,15 MAC 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kajang, Selangor telah bertindak susulan video tular berhubung minyak masak paket subsidi yang tertera perkataan ‘NON HALAL’.

Pada 11 Mac 2024 yang lepas, satu pemeriksaan fizikal telah dilakukan ke atas premis yang diadukan terletak di sekitar Balakong, Selangor. Premis merupakan syarikat pembungkus minyak masak 1 kg dan juga beroperasi sebagai tempat penyimpanan bekalan minyak masak paket 1 kg.

Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan minyak masak mendapati tiada logo halal dan penandaan halal digunakan. Semakan juga mendapati tiada tulisan “NON HALAL” ditemui di mana-mana paket minyak masak yang siap dibungkus.

Tindakan pihak syarikat tidak meletakkan logo halal ke atas bungkusan minyak masak adalah disebabkan Sijil Pengesahan Halal
Malaysia (SPHM) syarikat telah tamat tempoh dan pihak JAIS telah mengambil tindakan kes di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 ke atas syarikat pembungkus / premis tersebut kerana menggunakan logo halal Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa sebelum ini.

Jika disabit kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih
RM200,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Ribu) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM500,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Ribu) bagi pertubuhan/ perbadanan manakala bukan pertubuhan/ perbadanan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM250,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Lima Puluh Ribu) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Secara keseluruhannya, hasil pemeriksaan mendapati minyak masak paket yang dikeluarkan oleh syarikat pembungkus tidak membuat penandaan “NON HALAL” ke atas bungkusan plastic minyak masak paket
keluarannya dan minyak masak diperolehi daripada pengilang minyak masak yang sah dan berlesen.

KPDN Selangor ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:
i. Whatsapp 019-848 8000
ii. Aplikasi Ez Adu KPDN
iii. Talian hotline KPDN 1-800-886-800
iv. Portal e-aduan.kpdn

Leave a Reply