Pokok Sena, 30 September 2024 – Dalam usaha membantu mangsa banjir di Kedah, Yayasan Ikhlas telah menjalankan Program Kit Emosi di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan terjejas, dengan memberi fokus kepada kanak-kanak yang mengalami tekanan akibat bencana tersebut.

Kawasan Pokok Sena antara yang paling terjejas dengan banjir kilat yang melanda baru-baru ini. Yayasan Ikhlas, bersama 20 orang sukarelawan, mengadakan aktiviti interaktif di PPS SK Bukit Hijau, Kampung Padang Temesu.

Program ini bertujuan meringankan beban emosi kanak-kanak melalui aktiviti seperti mewarna, melukis, dan permainan kerusi berirama.

Menurut kenyataan Yayasan Ikhlas, aktiviti ini bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan, malah membantu kanak-kanak mengatasi tekanan emosi yang dialami akibat bencana tersebut. Penerima program ini rata-ratanya kanak-kanak yang masih trauma dengan situasi yang berlaku.

Selain PPS SK Bukit Hijau, sukarelawan Yayasan Ikhlas juga mengunjungi PPS Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, di mana ramai penduduk terpaksa berpindah tanpa sempat menyelamatkan harta benda apabila air naik terlalu cepat.

Di sini, sokongan moral dan emosi yang diberikan oleh para sukarelawan memberi kelegaan kepada mangsa, terutamanya mereka yang masih dalam keadaan terkejut dan cemas.

Salah seorang ibu yang ditemui di PPS Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang berkata, “Esok datanglah lagi. Kami cemuih dah 3 hari berkampung di sini tunggu air surut. Tak tau nak buat apa.” Ungkapan beliau menggambarkan keperluan mendesak untuk bantuan emosi, selain bantuan fizikal kepada mangsa banjir.

Program Kit Emosi ini turut mendapat sambutan hangat daripada penduduk dewasa yang turut serta dalam beberapa aktiviti yang disediakan. Keprihatinan Yayasan Ikhlas jelas terpancar apabila sukarelawan mereka mengambil berat bukan sahaja terhadap keperluan fizikal, malah kesejahteraan emosi mangsa banjir.

Sukarelawan Yayasan Ikhlas terus komited dalam membantu masyarakat yang terjejas, dan berdoa agar semua mangsa banjir dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat. Mereka juga berharap agar banjir di kawasan terbabit segera surut dan kehidupan dapat kembali seperti biasa.

Yayasan Ikhlas telah lama dikenali dengan usaha mereka dalam menyantuni mangsa-mangsa bencana di seluruh negara. Program Kit Emosi ini merupakan salah satu daripada inisiatif mereka dalam memastikan kesejahteraan menyeluruh mangsa banjir terjamin, khususnya di kalangan golongan kanak-kanak yang lebih terdedah kepada tekanan emosi.

Leave a Reply