KUALA LUMPUR, 30 September 2024 – Malaysia bakal mencatat sejarah penganjuran sukan udara dengan Kejohanan Sukan Udara 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober 2024 di MAEPS, Serdang.
Kejohanan ini, yang pertama seumpamanya di Malaysia, juga disertai Festival Sukan Udara 2024 yang akan berlangsung dari 10 hingga 13 Oktober.
Acara ini dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung, menawarkan pelbagai aktiviti udara seperti joyride pesawat kecil, penerbangan belon udara panas, perlumbaan drone, dan pelbagai pameran sukan udara terkini. Festival tersebut turut menyediakan zon interaktif di mana pengunjung berpeluang mencuba aktiviti sukan udara.
Menurut Mohamad Fadzli Abd Aziz, Timbalan Presiden Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), penganjuran kejohanan ini adalah langkah pertama untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat sukan udara di Asia menjelang tahun 2027.
“Kami berharap kejohanan ini mampu menarik minat lebih ramai masyarakat kepada sukan udara, menjadikannya lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat,” katanya ketika satu Sidang Media di Wisma OCM disini hari ini.
Selain aktiviti sukan udara, pengunjung juga boleh menikmati persembahan artis, gerai makanan dan minuman, serta pelbagai hiburan keluarga.
Festival ini diharapkan dapat membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka kepada ribuan pengunjung.
Khairol Aswaz Dato’ Kamaruddin, Pengarah Projek Festival Makanan yang diadakan serentak, berkata bahawa acara ini bukan sahaja mendorong perkembangan sukan udara, tetapi juga merangsang ekonomi tempatan melalui pameran dan penjualan produk usahawan tempatan.
Dari segi keselamatan, Datuk Mohd Nawawi Awang, Penasihat Operasi dan Keselamatan, memaklumkan bahawa langkah-langkah keselamatan yang ketat akan dilaksanakan, termasuk pemantauan ruang udara dan penilaian risiko aktiviti yang diadakan.
Kejohanan Sukan Udara 2024 bukan sahaja memperkenalkan sukan udara kepada orang ramai, tetapi juga memperkukuhkan Malaysia sebagai destinasi sukan udara bertaraf dunia, dengan pelbagai aktiviti sukan dan hiburan yang pasti menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara.