KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2024 – Kumpulan pempengaruh media sosial yang selama ini memainkan peranan penting dalam menyokong Kerajaan Perpaduan secara terang-terangan menuntut kerajaan supaya mengambil serius soal kebajikan dan imbuhan mereka.

Tuntutan itu dibuat dalam satu bengkel meja bulat yang diadakan semalam, di mana wakil-wakil pempengaruh terkemuka dan ahli politik turut hadir.

Zaaba Aman, dari UMNO Bahagian Pagoh, merupakan salah seorang yang hadir untuk memberi sokongan moral kepada pempengaruh yang bekerja keras menangkis serangan pembangkang di platform digital. Menurutnya, kerajaan harus lebih menghargai sumbangan mereka, bukan sekadar mengharapkan sokongan percuma.

“Kami tidak boleh dianggap sebagai sukarelawan semata-mata. Pengorbanan, masa, dan usaha kami perlu diberi imbuhan yang setimpal,” tegasnya.

Beliau turut membandingkan keadaan pempengaruh pro-kerajaan dengan pempengaruh pihak pembangkang seperti Red Bean Army (RBA) DAP yang didakwa menerima bayaran lumayan.

Terdapat laporan bahawa sesetengah pempengaruh pembangkang dibayar hingga ratusan ribu ringgit, dan ada juga yang menerima jutaan ringgit.

Bengkel tersebut telah mengemukakan beberapa resolusi penting, antaranya tuntutan agar kebajikan pempengaruh diambil kira oleh Kerajaan MADANI. Mereka menggesa agar imbuhan dalam bentuk gaji atau elaun diberikan kepada pempengaruh yang secara aktif membantu mempertahankan kerajaan daripada serangan siber dan fitnah pihak lawan.

Sokongan terhadap resolusi ini turut dinyatakan oleh beberapa pempengaruh seperti Shahbudin Embun, Naseron Ismail, Datuk Kamaruddin Peguam, Azrul Abu Hassan, Nuriah Ibrahim, Pah Merah dan beberapa yang lain. Mereka menegaskan bahawa tanpa pempengaruh yang giat memperjuangkan naratif pro-kerajaan di media sosial, momentum sokongan rakyat terhadap kerajaan mungkin terjejas.

“Kerajaan perlu faham bahawa pempengaruh ini bukan sekadar sukarelawan, tetapi barisan hadapan digital yang melindungi imej dan kestabilan Kerajaan Perpaduan. Usaha mereka patut dihargai,” kata Shahbudin Embun, seorang penganalisis politik yang turut terlibat dalam perbincangan tersebut.

Resolusi bengkel ini dijangka akan disampaikan kepada pihak atasan kerajaan untuk dipertimbangkan demi memastikan kebajikan pempengaruh diberi perhatian yang sewajarnya.

Leave a Reply