KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2024 – Shahbudin Embun, seorang pempengaruh dan penganalisis politik, yang juga Ketua Biro Politik MEMO – Gerakan Tempur MedSos Rakyat, menyatakan sokongan penuhnya terhadap Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang diluluskan oleh kerajaan.

Menurut beliau, langkah ini penting untuk memelihara kefahaman dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia, khususnya dalam konteks amalan dan pendekatan yang diwarisi dari ulama-ulama Nusantara terdahulu.

Dalam kenyataannya, Shahbudin memuji tindakan kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta sokongan Menteri Agama, kerana mengambil inisiatif untuk memastikan agar ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah terus menjadi teras bagi umat Islam di negara ini. Beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai wajar untuk menghindari perpecahan dalam kalangan umat Islam dan menjaga keharmonian yang telah lama wujud.

Shahbudin menekankan kepentingan tafahum atau saling memahami antara sesama umat Islam walaupun terdapat perbezaan mazhab dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau mengambil contoh sikap toleransi yang ditunjukkan oleh Imam Syafie, yang sanggup meninggalkan bacaan Qunut ketika berkunjung ke negara yang mengamalkan mazhab yang tidak membaca Qunut, sebagai bukti bahawa perbezaan tidak sepatutnya membawa kepada perselisihan.

Beliau juga menekankan bahaya apabila waqi’ atau situasi setempat tidak difahami oleh sebahagian ahli agama, yang boleh menyebabkan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat. “Ini sangat bahaya, jika tidak dibendung, boleh membawa permusuhan dan keganasan,” ujar Shahbudin.

Shahbudin menyifatkan langkah kerajaan ini sebagai penting untuk membina kesatuan ummah yang kuat, dan seterusnya menjadikan umat Islam di Malaysia sebagai contoh persaudaraan yang utuh. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas inisiatif ini dan berharap agar ia dapat menjadi landasan untuk masa depan yang lebih cerah bagi umat Islam di negara ini.

“Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, yang mahukan kesatuan dan persaudaraan ditingkatkan demi untuk mengumpul kekuatan bangkit menjadi satu kesatuan ummah yang mengaum menggegarkan di persada dunia, langkah yang dibuat ini amatlah tepat,” katanya.

Leave a Reply