ALOR SETAR, 19 Oktober 2024 – UMNO Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan Negara 2025 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid, bajet tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekonomi negara sambil memberi perhatian khusus kepada rakyat, terutama di luar bandar dan kawasan kurang membangun.

Mahdzir menekankan bahawa bajet ini menunjukkan fokus terhadap pertumbuhan inklusif dan mengutamakan kesejahteraan rakyat. “Peningkatan bantuan STR bagi menangani kos sara hidup serta usaha meningkatkan pendapatan rakyat adalah langkah yang sangat dialu-alukan. Ini membuktikan bahawa kerajaan tidak mengabaikan golongan yang paling terkesan dengan keadaan ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

UMNO Kedah turut menyambut baik peruntukan besar sebanyak RM600 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana alam, terutama di negeri-negeri yang kerap dilanda banjir seperti Kedah. Mahdzir menyatakan bahawa langkah ini amat penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terjamin.

Sektor pertanian juga menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2025, dengan projek pemodenan Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang melibatkan kos RM1 bilion. Projek ini dijangka akan meningkatkan produktiviti padi dan pendapatan petani di Kedah, sekali gus memperkukuhkan kedudukan negeri sebagai pengeluar utama hasil pertanian negara.

Mahdzir menambah bahawa pendekatan kerajaan yang holistik terhadap pembangunan sektor luar bandar dan pertanian menunjukkan keprihatinan terhadap cabaran yang dihadapi petani dan masyarakat luar bandar. Ini termasuk peruntukan untuk pembangunan TVET, pendidikan, kesihatan, pembangunan usahawan, dan pelancongan, yang penting bagi mempertingkatkan taraf hidup rakyat di Kedah.

Namun begitu, UMNO Kedah menegaskan bahawa keberkesanan pelaksanaan bajet bergantung kepada sistem penyampaian yang cekap. Menurut Mahdzir, birokrasi yang lambat boleh menjadi halangan kepada pengagihan bantuan dan sumber kepada mereka yang memerlukan.

Beliau menyeru kerajaan untuk mempercepatkan proses penyampaian bantuan bagi memastikan manfaat bajet dapat dinikmati oleh rakyat, terutama petani dan golongan berpendapatan rendah, tanpa kelewatan.

UMNO Kedah komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan bajet dilaksanakan dengan berkesan dan membawa manfaat jangka panjang kepada semua lapisan masyarakat di Kedah.

Leave a Reply