KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2024 – Presiden Kebangsaan Nambikkai Malaysia, Datuk Dr. Kalaivanar, hari ini menyerahkan dua memorandum penting kepada YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal WilayahPersekutuan), dan Datuk Seri TPR Dr. Maimunah Biti Muhammad Syarif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Memorandum ini mewakili penjaja Little India, Brickfields yang meluahkan kebimbangan terhadap penganjuran konsert hiburan di kawasan perniagaan mereka, yang dikhuatiri akan menjejaskan mata pencarian mereka.
Penjaja-penjaja di Brickfields, yang sebahagian besarnya bergantung pada jualan harian untuk membayar hutang modal, menyatakan bahawa penganjuran pentas hiburan itu akan menyebabkan gangguan besar terhadap perniagaan mereka. Kehadiran orang ramai yang tumpuannya lebih kepada hiburan daripada membeli-belah di gerai-gerai mereka dilihat sebagai ancaman besar kepada pendapatan harian mereka.
Dalam memorandum tersebut, Datuk Dr. Kalaivanar menzahirkan harapan agar Datuk Bandar Kuala Lumpur, yang juga wanita pertama yang memegang jawatan tersebut, akan mengambil serius kebimbangan penjaja dan bertindak untuk melindungi kepentingan ekonomi mereka.
Penjaja juga membantah pemasangan kemah di beberapa lokasi tertentu, yang menurut mereka akan menghalang perniagaan mereka daripada beroperasi dengan baik.
Encik Gunaseela , salah seorang penjaja yang terlibat, menyatakan kekecewaannya kerana suara penjaja tidak didengari oleh pihak berkuasa. Mereka meragui kelulusan pemasangan kemah tersebut dan merasakan bahawa tindakan pihak berkuasa lebih mengutamakan kepentingan pihak tertentu berbanding kebajikan peniaga tempatan.
Dalam pada itu, penjaja juga menolak tuduhan bahawa persatuan mereka terlibat dalam aktiviti yang merugikan. Mereka menegaskan bahawa mereka hanya berusaha mencari rezeki secara sah dan halal. Tuduhan bahawa persatuan peniaga mengambil keuntungan daripada penjaja dianggap tidak berasas dan tidak mempunyai fakta yang kukuh.
Tambah Dato Dr Kalaivanar, persatuan penjaja di Brickfields berfungsi sebagai badan penganjur yang memberikan kemudahan dan sokongan kepada peniaga, termasuk pengurusan tapak dan permit perniagaan. Beliau menekankan bahawa sumbangan yang diterima oleh persatuan digunakan untuk membantu golongan memerlukan seperti OKU dan ibu tunggal, serta menegaskan bahawa persatuan tidak mengambil keuntungan daripada sumbangan tersebut.
Penjaja kini berharap pihak berkuasa akan mempertimbangkan semula keputusan penganjuran pentas hiburan dan pemasangan kemah di kawasan perniagaan mereka, agar lebih banyak ruang dapat diperuntukkan untuk penjaja berniaga. Situasi ini turut menekankan kepentingan kerjasama antara individu dan persatuan untuk menyelesaikan isu ini demi kelangsungan hidup penjaja kecil serta kesejahteraan komuniti tempatan.