KUALA LUMPUR, 21 November 2026 – Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Wira Sumali Reduan secara rasmi mengesahkan pencalonan beliau bagi merebut jawatan Timbalan Presiden di dua badan induk sukan itu, iaitu Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).
Pengesahan itu dibuat bersempena Mesyuarat Agung Tahunan PSM hari ini, sekali gus menamatkan teka-teki mengenai posisi yang bakal ditandingi beliau menjelang kongres kedua-dua badan induk tersebut di Bangkok, Thailand pada 9 Disember depan.
Menurut Sumali, pencalonan bagi jawatan nombor dua ISTAF itu merupakan cadangan daripada pihak PSM sendiri dan borang pencalonan telah pun dihantar sebelum tarikh tutup pada petang ini.
Beliau menegaskan bahawa kehadiran wakil Malaysia dalam barisan kepimpinan tertinggi ASTAF dan ISTAF amat kritikal bagi memastikan suara, pandangan serta cadangan negara didengari di peringkat Asia mahupun dunia.
”Daripada kita duduk di luar tanpa memegang sebarang jawatan, lebih baik kita berada di dalam badan induk tersebut demi kebaikan pembangunan sepak takraw negara dan antarabangsa,” katanya ketika ditemui media.
Mengulas mengenai keputusannya memilih jawatan Timbalan Presiden berbanding kerusi Presiden ISTAF, Sumali menjelaskan faktor komitmen masa dan keutamaan terhadap pembangunan sepak takraw tempatan menjadi pertimbangan utama.
Secara berseloroh, beliau turut mengakui jawatan Timbalan Presiden lebih ‘selamat’ daripada sudut bebanan kewangan berbanding jawatan Presiden yang menuntut usaha mencari dana yang jauh lebih besar.
”Fokus utama saya ketika ini adalah mencari dana dan peruntukan untuk memajukan sepak takraw di negara sendiri terlebih dahulu. PSM adalah prioriti utama saya,” tegasnya.
Tambah beliau, sekiranya menyandang jawatan nombor satu di peringkat antarabangsa, tanggungjawab yang dipikul memerlukan tumpuan penuh yang dikhuatiri boleh menjejaskan komitmen sedia ada di peringkat domestik.
Selain itu, jawatan Timbalan Presiden ISTAF yang memperuntukkan dua kekosongan membolehkan beliau bekerjasama dengan seorang lagi rakan sejawat bagi membantu Presiden serta melancarkan pengurusan organisasi.
Mengenai peluang kemenangan, Sumali menyerahkan perkara itu kepada keputusan kongres memandangkan senarai penuh calon yang bertanding daripada negara-negara lain hanya akan diketahui selepas proses pencalonan ditutup sepenuhnya petang ini.
Apa pun keputusannya, penyertaan rasmi Sumali dalam kedua-dua pemilihan tersebut membuktikan kesungguhan Malaysia untuk kembali memainkan peranan penting dalam mencorak hala tuju sukan sepak takraw di pentas global.
#BeritaAAC #SepakTakrawMalaysia #PSM #ISTAF #ASTAF