KUALA LUMPUR, 27 November 2024 – Sebanyak 20 syarikat milikan usahawan India telah menerima geran bernilai hampir RM1.5 juta di bawah Program Business Accelerator for Indian Small Business (I-BAP) yang dikendalikan SME Corp. Malaysia. Setakat ini, 61 lagi permohonan sedang dinilai, dengan jumlah keseluruhan dana bantuan dijangka mencecah RM6 juta untuk lebih 70 perusahaan kecil komuniti India.
I-BAP, yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan pada 27 September lalu, menawarkan geran padanan sehingga RM100,000. Geran ini bertujuan membantu perniagaan kecil meningkatkan kapasiti, keupayaan, serta daya saing melalui pelbagai inisiatif. Usahawan boleh menggunakan dana ini untuk perolehan mesin, adaptasi ICT, pembangunan eDagang, amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), pensijilan produk, serta aktiviti promosi dan pemasaran.
YB Dato’ Sri Ramanan menyifatkan program ini sebagai satu langkah penting dalam menyokong pembangunan komuniti India sejajar dengan visi Ekonomi MADANI, yang menekankan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan seimbang. “Dengan bantuan ini, saya berharap agar usahawan India dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti mereka, seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat SMECorp disini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Encik Rizal bin Dato’ Nainy turut menekankan peranan strategik I-BAP. Beliau memaklumkan bahawa permohonan untuk program ini telah ditutup pada 31 Oktober 2024 dengan jumlah keseluruhan permohonan bernilai RM26.14 juta. “Selain I-BAP, SME Corp juga telah meluluskan RM4.75 juta geran tambahan untuk 74 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) milikan usahawan India melalui BAP 3.0 dan Geran Perniagaan Mikro (GPM),” jelas beliau.
Program I-BAP ini tidak hanya menyediakan peluang untuk meningkatkan produktiviti, tetapi juga membuka ruang kepada usahawan India untuk memperkenalkan amalan perniagaan yang lebih lestari. Ini termasuk penggunaan teknologi moden serta penekanan terhadap kualiti produk dan keberkesanan pemasaran. Usaha ini diharap dapat memperkukuh daya tahan PMKS terhadap cabaran ekonomi dan meningkatkan daya saing mereka di peringkat nasional.
Sebagai usaha berterusan, SME Corp. Malaysia juga sedang berkolaborasi dengan pelbagai agensi lain bagi memastikan manfaat program ini dapat dirasai lebih meluas. Walaupun hanya 20 syarikat yang telah diluluskan setakat ini, permohonan tambahan sedang dipertimbangkan untuk menambah penerima geran pada masa hadapan. Sokongan media juga diakui sebagai faktor penting dalam memperkenalkan inisiatif ini kepada khalayak dan mempromosikan impak positifnya kepada masyarakat.
Melalui laman sesawang www.smecorp.gov.my dan platform media sosial rasmi, usahawan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif dan geran yang ditawarkan. Diharapkan lebih banyak usahawan India akan menerima manfaat daripada usaha ini, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih seimbang dan inklusif.