KUALA LUMPUR – Pertubuhan Musaadah Jaringan Insan (PEMUDAH) buat julung kalinya akan mengadakan program Perkampungan Tauheed pada 6 hingga 8 Disember ini di Masjid Al-Alami MITC Melaka.

Pengerusinya, Hajah Hezla Hashim berkata ini merupakan program pertama terbesar yang dianjurkan PEMUDAH.

Menurutnya PEMUDAH ditubuhkan pada Julai lepas dan visinya adalah untuk membina masyarakat sejahtera, didunia dan akhirat dengan penghayatan nilai-nilai Islam yang syumul.

Katanya, manakala misi PEMUDAH adalah menyatukan Ummah dengan menjadikan Al-Quran dan Hadis sebagai pegangan dan panduan di dalam pentadbiran pertubuhan.

Jelasnya, misi PEMUDAH juga untuk melaksana dan menyokong usaha pimpinan dakwah dan pembangunan modal insan ke arah melahirkan masyarakat yang kukuh dalam aspek akidah, syariah dan akhlak.

Tambahnya, misi lain PEMUDAH adalah untuk mengamalkan prinsip Islam supaya dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai-nilai murni serta memberi sokongan dalam aspek pembangunan sosio-ekonomi setiap golongan masyarakat dan menggalakkan masyarakat menjana ekonomi melalui sumber pendapatan yang halal toyiban.

“Golongan sasar kita adalah mualaf, Orang Kurang Upaya (OKU), remaja dan dewasa bermasalah, fakir dan asnaf.

“Ini antara golongan kita sasarkan,” katanya dalam sidang medianya.

Mengulas lanjut, Hajah Hezla berkata Perkampungan Tauheed diadakan adalah untuk menjana pendapatan dan mendapatkan dana untuk program Kembara Al-Haramain.

Beliau berkata program perkampungan itu yang dijalankan selama tiga hari dan terdapat pelbagai pengisian.

Hajah Hezla berkata dan pihaknya membuat kerjasama dengan Masjid Al-Alami MITC Air Keroh Melaka, USTAZLAH OFFICIAL & Astaatizah travel and tour usahasama JAIM, kumpulan pemotoran Bezza, Myvi dan Axia Malaysia, serta rakan strategik pihaknya yang lain.

“Antaranya sembang santai, malam selawat, forum dan pertandingan kanak-kanak sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Melaka,” katanya.

Sementara itu, Hajah Hezla berkata antara yang akan menyertai program itu seperti pendakwah Firdaus Wong, Zul Handy Black dan Iwan Shahman.

Beliau berkata perancangan pihaknya selepas di Melaka akan menganjurkan Perkampungan Tauheed di Pulau Pinang selepas ini.

Leave a Reply