KUALA LUMPUR, 10 Mei 2025 – Koperasi Industri Kreatif Malaysia Berhad (KOKREATIF) kini muncul sebagai pemacu utama dalam memperkukuh ekosistem seni kreatif tempatan melalui pendekatan inklusif, mampan dan berteraskan teknologi digital.

Diasaskan pada Oktober 2022, KOKREATIF bukan sahaja membuka ruang kolaborasi dalam kalangan penggiat seni tanah air, malah turut menghubungkan mereka dengan pelbagai pihak berkepentingan demi memperkasakan potensi ekonomi industri kreatif negara.

Pengerusinya, Puan Sandakiah Azez – anak kepada allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar – menyatakan bahawa KOKREATIF berperanan sebagai pemudahcara yang memfokuskan kepada pembangunan kapasiti anggota koperasi, khususnya melalui program pembangunan jaringan, kerjasama industri dan peluang akses kepada teknologi.

“Keanggotaan KOKREATIF terbuka kepada semua warga seni kreatif Malaysia, termasuk pelakon, penyanyi, pelawak, penulis, pemuzik, pelukis, pengukir, penggiat teater, seni mempertahankan diri dan lain-lain bidang berkaitan seni, budaya serta warisan,” ujar Puan Sandakiah dalam kenyataan media hari ini.

Sebagai langkah memperkukuh digitalisasi dalam sektor ini, KOKREATIF sedang membangunkan aplikasi mudah alih yang dijangka memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti seni.

Tambah beliau, koperasi turut mengalu-alukan penyertaan profesional dan usahawan yang ingin menyumbang ilmu serta pengalaman dalam bidang keusahawanan, terutamanya yang melibatkan keusahawanan digital.

Untuk menjadi anggota, individu hanya perlu mendaftar dengan yuran sebanyak RM30 dan melanggan saham koperasi minimum RM100. Maklumat lanjut serta borang permohonan boleh didapati di laman web rasmi www.kokreatif.com.

#KOKREATIF #SeniUntukEkonomi #IndustriKreatifMalaysia #PenggiatSeniBersatu #SeniDigital #EkonomiKreatif #SandakiahAzez #SeniWarisanKita #KoperasiSeni #KreativitiUntukNegara

Leave a Reply