SHAH ALAM – Selepas lebih satu dekad mencipta nama di Pantai Timur, produk minuman kesihatan Maamy Mineral Essence (MME) kini melangkah lebih jauh dengan pembukaan pejabat baharu di Avenue Crest, Seksyen 22, Shah Alam, sekali gus menandakan permulaan era baharu dalam usaha menembusi pasaran Lembah Klang.
Diasaskan oleh Hasmah Mohamad, yang lebih dikenali dengan panggilan mesra Maamy, MME telah bertapak selama 16 tahun dan mendapat kepercayaan pengguna khususnya di Kelantan dan Terengganu.
Pembukaan pejabat operasi baharu itu, yang dijadual bermula pada Mei ini, adalah langkah strategik hasil daripada permintaan tinggi pengguna serta pengikut setia di platform media sosial.
“Sudah sampai masanya untuk kami membawa kebaikan MME kepada warga Lembah Klang yang sekian lama menunjukkan minat terhadap produk ini.
“Saya percaya, langkah ini bukan sahaja memperluas capaian kami, tetapi juga membuka ruang untuk lebih ramai mengenali manfaat produk ini dalam menyokong gaya hidup sihat,” kata Maamy.

Beliau turut menjemput orang ramai untuk hadir ke pejabat baharu mereka bagi merasai sendiri keberkesanan produk berkenaan secara percuma.
Katanya, pengguna hanya perlu membuat temu janji terlebih dahulu dan pihak MME bersedia mendengar serta membantu menangani pelbagai isu kesihatan ringan menerusi penggunaan produk itu.
Maamy Mineral Essence adalah produk kesihatan berasaskan zat galian dan unsur surih tulen yang diambil secara semula jadi dari lautan di Queensland, Australia.
Ia diformulasikan untuk diambil bersama air mineral dan berupaya menyegarkan tubuh serta memberikan kelegaan kepada pengguna.
“Kami menerima banyak testimoni positif sejak mula dipasarkan, dan semuanya boleh ditonton menerusi laman sosial rasmi kami di @mammymineralessemce.official.
“Namun, tiada yang lebih meyakinkan selain mencuba sendiri,” tambah Maamy lagi.

Sebelum ini, produk MME dipasarkan secara aktif di beberapa masjid utama sekitar Pantai Timur dan berjaya membina pengaruh kukuh dalam kalangan komuniti setempat.
Sementara itu, penyampai radio Gegar FM, Fizie Roslan, yang juga menantu kepada Maamy dan kini bertindak sebagai Duta MME, menyifatkan pembukaan pejabat di Shah Alam sebagai satu lonjakan penting dalam memperluas potensi jenama itu.
“Permintaan yang tinggi dari pengguna, terutamanya generasi muda menerusi platform seperti TikTok, menunjukkan MME mempunyai peluang besar untuk terus berkembang.
“Saya pujuk Maamy untuk mengambil langkah ini kerana saya yakin MME sudah bersedia untuk ke peringkat seterusnya,” katanya.

Fizie berkata, pihaknya yakin Lembah Klang adalah pasaran yang luas dan strategik untuk memacu pertumbuhan MME pada masa akan datang.
Dengan pembukaan cawangan baharu ini, MME bukan sekadar memperluas operasinya, tetapi juga mengukuhkan lagi kedudukan sebagai produk kesihatan alternatif yang dipercayai rakyat Malaysia.