
KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2025 – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung hari ini mengambil beberapa pendirian tegas melibatkan isu keadilan, integriti institusi, dan hubungan politik dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.
UMNO menyambut baik keputusan sebulat suara tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak agar disegerakan pendengarannya di Mahkamah Tinggi. Menurut Presiden UMNO, keputusan itu memberi kelegaan terhadap usaha mendapatkan pembelaan buat bekas Perdana Menteri tersebut.
“UMNO akan terus beriltizam menggunakan semua saluran undang-undang yang ada untuk memperjuangkan keadilan buat Dato’ Sri Najib,” tegas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam masa yang sama, UMNO turut melahirkan rasa dukacita terhadap tragedi kematian arwah adik Zara Qairina Mahathir. Parti itu mengkritik kelemahan pengendalian kes oleh pihak berkuasa seperti diakui sendiri oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan inkues penuh bagi menentukan punca kematian, termasuk kemungkinan unsur jenayah.
“Proses inkues ini mesti bebas, telus, dan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan keadilan tuntas buat arwah,” kata beliau.
Dalam isu maruah negara, UMNO memandang serius tindakan tidak menghormati Jalur Gemilang, menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi mesti dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan itu, tanpa mengira alasan.
Selain itu, UMNO akan menghantar nota bantahan kepada kepimpinan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang membenarkan kemasukan ahli UMNO ke dalam parti mereka. UMNO memberi amaran keras bahawa isu ini boleh meretakkan hubungan sesama parti jika tidak ditangani segera.
#UMNO #NajibRazak #JusticeForNajib #ZaraQairina #JusticeForZara #TitahAdendum #KerajaanPerpaduan #JalurGemilang #PolitikMalaysia #BeritaSemasa