BANGI, 9 Ogos 2025 — Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh agenda pembangunan pendidikan dan modal insan melalui pelbagai inisiatif, termasuk peningkatan jumlah biasiswa yang diberikan kepada anak-anak Sabah di dalam dan luar negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd Ariffin Bin Datuk Haji Mohd Arif berkata, peruntukan biasiswa Kerajaan Negeri telah meningkat daripada RM50 juta sebelum ini, kepada RM100 juta pada tahun 2023, dan kini mencecah RM136 juta pada tahun ini.
“Peningkatan ini membolehkan lebih ramai pelajar menikmati manfaat biasiswa. Tahun lepas seramai 4,000 pelajar menerima bantuan, dan tahun ini kita jangkakan tambahan 5,000 pelajar baharu. Secara keseluruhan, seramai 14,000 pelajar akan menerima biasiswa Kerajaan Negeri Sabah,” jelas beliau.
Selain biasiswa, Kerajaan Negeri turut melaksanakan 14 inisiatif pendidikan seperti Bantuan BUDI untuk persediaan sebelum masuk ke IPT, Bantuan BAKTI sebelum peperiksaan SPM, STPM dan STAM, subsidi tiket penerbangan pelajar dalam negeri dan ke Semenanjung, bantuan yuran peperiksaan percuma untuk lebih 4,000 calon SPM, serta pelbagai sokongan lain.
Setakat ini, lebih RM70 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 14 inisiatif tersebut, dengan tujuan memastikan tiada pelajar Sabah tercicir dalam pendidikan.
Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) juga giat memainkan peranan dengan menyediakan dermasiswa untuk pelajar ke luar negara termasuk Universiti Al-Azhar, Mesir dan beberapa negara lain, selain memeterai enam memorandum persefahaman (MoU) dengan institusi seperti USIM.
“Dalam tempoh empat tahun ini, sebanyak RM1.33 bilion telah dibelanjakan untuk pendidikan anak-anak Sabah. Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam membina masa depan negeri melalui modal insan berkualiti,” katanya.
#SabahMajuJaya #PendidikanSabah #BiasiswaSabah #AnakSabahCemerlang #InisiatifPendidikan.#RM136Juta #ModalInsanSabah #TiadaPelajarTercicir #BantuanPendidikan #PendidikanUntukSemua