KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2025 — Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah menegaskan bahawa parti itu belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung khabar angin bahawa MIC bakal keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, perkara tersebut akan dibincang dan diputuskan secara rasmi pada 16 November ini sempena Perhimpunan Agung Tahunan MIC, di mana semua perwakilan akan diberi ruang untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

“Presiden saya, Yang Berbahagia Tan Sri Vickneswaran, telah pun menjawab soalan ini kepada semua pihak media. Keputusan akan dibuat pada 16 hari bulan November nanti. Buat masa ini, kami belum buat apa-apa keputusan dan akan serah kepada para perwakilan,” jelas Datuk T.Murugiah ketika ditemui media.

Beliau menasihatkan semua pihak, termasuk ahli-ahli parti dan penyokong, supaya bersabar dan menunggu hasil keputusan rasmi daripada kepimpinan tertinggi MIC.

“Kita akan mendengar pandangan masing-masing sebab itu mereka akan hadir pada persidangan perwakilan MIC tahunan,” katanya lagi.

Apabila ditanya sama ada MIC akan menjemput Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk menghadiri perhimpunan tersebut, Datuk Murugiah menjelaskan bahawa perkara itu juga belum diputuskan.

“Itu kita serah kepada kepimpinan parti.
Apa pun, kita tunggu dan lihat apa akan jadi pada 16 November nanti,” ujarnya ringkas.

Perhimpunan Agung Tahunan MIC tahun ini dilihat sebagai penentu hala tuju politik parti itu dalam landskap baharu BN dan kerajaan perpaduan, serta menjadi tumpuan pemerhati politik menjelang penghujung tahun.

#MIC2025 #BarisanNasional #PolitikMalaysia #Vickneswaran #TMurugiah #MICBN #PerhimpunanAgungMIC #IsuPolitik #MalaysiaTerkini #Keputusan16November

Leave a Reply