KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2025 – Penduduk sekitar kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kini berdepan tekanan baharu apabila cukai taksiran atau lebih dikenali sebagai cukai pintu dijangka naik sehingga 245% bermula Januari 2026.
Menurut aktivis masyarakat, Dato’ Ridzuan, kenaikan mendadak itu dianggap tidak munasabah dan membebankan rakyat, khususnya golongan kampung yang tidak begitu celik dengan sistem bantahan secara dalam talian yang disediakan pihak bandaraya.
“Bayangkan, ada lebih 60,000 penduduk di bawah kawasan pentadbiran Alor Setar, tapi hanya sekitar 1,200 orang sahaja yang sempat buat bantahan melalui link online MBAS. Ramai orang kampung tak tahu atau tak faham sistem tu,” katanya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan bahawa kenaikan ini akan menyebabkan ramai penduduk gagal menjelaskan bayaran cukai, sekaligus berdepan tindakan sitaan barangan rumah seperti peti sejuk dan televisyen oleh pihak berkuasa tempatan.
“Kalau rakyat tak mampu bayar, PBT ada kuasa sita barang-barang. Ini yang rakyat takut. Kita minta Datuk Bandar Alor Setar, Menteri KPKT Nga Kor Ming, serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor, turun campur tangan dan semak semula kadar cukai ini,” tegasnya.
Dato’ Ridzuan turut menggesa NGO-NGO Melayu-Islam di Kedah supaya tidak berdiam diri, dan menegaskan bahawa isu ini bukan soal politik, tetapi soal nasib rakyat bawahan.
“Saya minta NGO jangan bisu. Hari ini ramai NGO terlalu pro parti politik. Bila rakyat susah, mereka tak bersuara. Ini masa untuk bangkit dan bela nasib rakyat Kedah,” katanya lagi.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk turun bersama rakyat mengadakan bantahan besar-besaran di hadapan pejabat MBAS sekiranya kadar 245% itu dikekalkan selepas tarikh tutup bantahan pada 5 November 2025.
“Kalau MBAS kekal dengan kadar 245%, kita akan turun. Saya sanggup bawa NGO lain sama. Ini bukan soal politik, ini soal keadilan untuk rakyat,” tegas Dato’ Ridzuan.
Isu ini dijangka menjadi topik panas di Kedah menjelang 2026, terutama dengan tekanan ekonomi yang semakin meningkat dan kemampuan rakyat yang semakin terhad.
#CukaiTaksiran245 #AlorSetarBangkit #RakyatTertindas #SuaraRakyatKedah #MBASKajiSemula #KedahBeraniBersuara #IsuRakyatBukanPolitik #BantahKenaikanCukai #RakyatLawanTekanan #KamiBersamaRakyat