KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2025 – Persidangan Women Way Forward 2025 (W2F 2025) melabuhkan tirainya hari ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MITEC) dengan mesej yang lantang — wanita bukan lagi sekadar pelengkap dalam industri pembinaan, tetapi pemacu utama masa depan sektor tersebut.

Pengerusi bersama persidangan, Datuk Ar. Nafisah Radin dan Datin Dr. Hajjah Hrtini Osman, menyatakan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima daripada peserta sepanjang tiga hari penganjuran acara berprestij itu, yang disokong oleh CIDB Malaysia dan Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Kami amat berbesar hati melihat peserta kekal hingga ke penghujung sesi. Objektif untuk memperkukuh wanita, memperluas inklusiviti dan ekuiti berjaya dicapai,” kata Datuk Ar. Nafisah ketika menutup persidangan.

Beliau turut menambah bahawa Women Way Forward 2025 bukan sekadar membincangkan isu dalam sektor pembinaan, malah turut merangkumi bidang kewangan, teknologi dan keusahawanan, dengan penyertaan pelopor wanita dari seluruh rantau ASEAN termasuk Brunei, Indonesia dan Singapura.

Sementara itu, Datin Dr. Hajjah Hrtini menegaskan bahawa masih banyak ruang perlu diterokai oleh wanita dalam bidang ini memandangkan penglibatan wanita dalam sektor pembinaan di Malaysia masih rendah — hanya sekitar 1.8 peratus.

“Kita mahu lebih ramai wanita muda dan usahawan menceburi bidang ini, bukan sekadar dalam konsultansi tetapi juga sebagai pemilik syarikat pembinaan,” ujarnya penuh semangat.

Persidangan Women Way Forward 2025 dilihat sebagai platform penting memperkasa suara wanita profesional, membina jaringan serantau yang kukuh dan mendorong pembangunan industri yang lebih inklusif serta seimbang gender.

Acara penutup turut dimeriahkan dengan sesi networking luncheon yang menyatukan tokoh-tokoh wanita inspirasi dan pemimpin industri, menjadikan W2F 2025 bukan sahaja medan ilmu — tetapi simbol kemajuan dan solidariti wanita Malaysia menuju masa depan yang lebih gemilang.

#WomenWayForward2025 #KuasaWanita #WanitaDalamPembinaan #EmpowerHer #W2F2025 #InklusifSeimbang #CIDBMalaysiab#WanitaASEAN #InspiringWomen #BinaMasaDepan

Leave a Reply