
KUALA LUMPUR, 1 November 2025 –
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bandar Tun Razak hari ini tampil membuat laporan polis berhubung satu posting tular di media sosial yang dianggap menghina dan memprovokasi rakyat Malaysia.
Laporan tersebut dibuat oleh Saudara Amarul Hisham Bin Jamil, Timbalan AMK Cabang Bandar Tun Razak dan Puan Diana binti Mohd, Naib Ketua Wanita KEADILAN Cabang Bandar Tun Razak selepas melihat satu video dan gambar tular di Facebook yang dimuat naik oleh individu dikenali sebagai Siti Nurziswanis Mohd Zain, kakitangan RHB Bank Cawangan Kulim.
Dalam hantaran tersebut, individu berkenaan didakwa menyunting imej Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dengan menampalkan bendera Israel pada pakaian beliau – satu tindakan yang disifatkan biadab, tidak berakhlak dan berniat jahat.
Menurut Amarul, tindakan berkenaan bukan sahaja menghina pemimpin tertinggi negara, tetapi turut menyentuh sensitiviti umat Islam dan masyarakat Malaysia yang menentang keras kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Tindakan ini jelas berniat memperlekeh dan menjatuhkan maruah Perdana Menteri. Ia juga berpotensi menimbulkan kemarahan awam serta menggugat keharmonian masyarakat,” tegas beliau selepas membuat laporan polis di Cheras.
Turut hadir semasa laporan dibuat ialah Mr Kuek-PO-Guan, Timbalan Ketua Cabang; dan Mr Jonathan, Naib Ketua Cabang Bandar Tun Razak.
Pihak KEADILAN Cabang Bandar Tun Razak mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang.
Parti itu menegaskan, penggunaan simbol sensitif seperti bendera Israel dalam konteks politik tempatan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan menuntut agar tindakan sewajarnya diambil demi menjaga kehormatan pemimpin dan ketenteraman awam.
#HormatPemimpin #TolakProvokasi #PMXDiserangLagi #KeadilanBangkit #BenderaIsraelBiadab #SolidaritiBersamaPMX #RakyatBersatu #HentikanFitnah #SayNoToZionis #KeadilanUntukMalaysia