KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2025 — Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama Waris Pekembar dan Majlis Pemikir Negara (MPN) menyatakan rasa lega serta menyambut baik keputusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menangguhkan penjualan projek mercu tanda Battersea Power Station di London — aset strategik yang menjadi simbol kejayaan dan kebanggaan bangsa Melayu di pentas antarabangsa.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hassan Mad, berkata langkah itu bukan sahaja tepat malah melambangkan keutuhan institusi pelaburan milik rakyat Melayu, hasil sumbangan dan tabungan rakyat termasuk dari kawasan luar bandar.

“Kami merasa amat lega dengan pendirian pihak pelabur yang mewakili PNB. Hendaknya keputusan menangguhkan penjualan ini dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Battersea Power Station bukan sekadar pelaburan ekonomi, tetapi simbol keberanian dan kemampuan bangsa Melayu mengukir nama dalam dunia pelaburan global.

Selain menyumbang pulangan ekonomi yang baik, aset tersebut turut memberi kesan berganda kepada vendor dan usahawan tempatan, membuktikan keupayaan institusi seperti PNB dan Sime Darby dalam mengurus pelaburan bernilai tinggi di luar negara.

MPM turut menyarankan agar PNB mencontohi strategi Petronas, yang berjaya membawa vendor tempatan ke pasaran antarabangsa melalui pendekatan kerjasama dan pemindahan teknologi.

“Jika Sime Darby dan PNB mampu mengulangi kejayaan ini, lebih ramai vendor kita boleh meneroka pasaran luar,” ujar beliau lagi.

Datuk Dr. Hassan menegaskan bahawa keputusan mengekalkan pemilikan Battersea bukan semata-mata soal ekonomi, tetapi menyentuh nilai maruah, simbol dan identiti bangsa Melayu moden yang berjaya di arena global.

#BatterseaPowerStation #PNB #MPM #BangsaMelayuBangkit #PelaburanMelayuGlobal #KebanggaanMelayu #SimeDarby #AsetStrategikNegara #EkonomiBumiputera #MaruahBangsa

Leave a Reply