KUALA LUMPUR, 2 November 2025 — Malam penuh gemilang mewarnai suasana The PERDASAMA Excellence Gala Dinner 2025 apabila hampir 500 usahawan Bumiputera dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak berhimpun meraikan 27 tahun perjuangan PERDASAMA sebagai wadah utama memperkasa komuniti usahawan negara.

Majlis yang turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, menyaksikan penganugerahan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat PERDASAMA kepada beliau atas sumbangan luar biasa dalam membina dan memperkukuh komuniti usahawan Bumiputera di peringkat nasional dan antarabangsa. Kepimpinan Tun Mohd Ali sebagai Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) turut diiktiraf sebagai jambatan penting ekonomi, sosial dan budaya antara dunia Melayu dan negara-negara Islam.

Dalam ucapan aluan Presiden PERDASAMA, Mohd Azamanizam Baharon, beliau menzahirkan penghargaan kepada TYT Tun Seri Setia atas sokongan berterusan terhadap perjuangan PERDASAMA dalam memperkasa ekonomi Bumiputera. Beliau turut menegaskan bahawa tahun 2025 menandakan fasa penting dalam perjalanan ekonomi negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, apabila Malaysia berjaya mengekalkan pertumbuhan kukuh antara 4% hingga 4.5% dan menarik pelaburan langsung asing berjumlah lebih RM329 bilion bagi tahun 2024.
“PERDASAMA amat menghargai komitmen kerajaan melalui pelbagai agensi seperti KUSKOP, SME Corp, MARA, TERAJU, INSKEN, MATRADE, HRD Corp dan Tekun Nasional yang telah memainkan peranan penting membina ekosistem keusahawanan Bumiputera yang progresif dan inklusif,” ujar beliau.

Menurut Azamanizam, hasil usaha tersebut membolehkan ramai ahli PERDASAMA menembusi pasaran antarabangsa. Beliau juga mengumumkan mandat baharu daripada Perdana Menteri untuk melaksanakan Projek Belia MADANI (BiMA) — satu inisiatif besar menyasarkan 500,000 anak muda Bumiputera di bawah usia 30 tahun bagi pembangunan keusahawanan melalui pemadanan perniagaan, latihan dan peluang pasaran.


Dalam majlis yang sama, Anugerah Duta Projek BELIA MADANI PERDASAMA disampaikan kepada Nur Nabila Azman Hisham dan Muhammad Faiq Firdanny Khairul Amir dari Nariz Niaga Sdn. Bhd., manakala Anugerah Jurulatih BiMA PERDASAMA dianugerahkan kepada Mohd Firdaus Mohd Raihan dan Nurul Atikha Noor Aidi dari Skatescape Sdn. Bhd.
Menariknya, majlis turut melancarkan buku khas “Champ1000 PERDASAMA” yang akan diedarkan kepada 1,000 penerima termasuk 100 kedutaan asing dan lebih 300 agensi kerajaan di seluruh negara — simbol komitmen PERDASAMA untuk terus membawa suara usahawan Bumiputera ke peringkat tertinggi dasar negara.
“Dengan lebih 27,480 ahli syarikat Bumiputera dalam 50 sektor perniagaan, PERDASAMA kini benar-benar menjadi suara rasmi usahawan Bumiputera. Malam ini kita bukan sekadar meraikan kejayaan, tetapi memperkukuh tekad membawa ekonomi Bumiputera ke tahap lebih tinggi,” tegas Presiden PERDASAMA mengakhiri ucapannya dengan penuh semangat.
#PERDASAMAExcellenceGala2025 #EkonomiBumiputera #TheGreaterBumiputera #MalaysiaMADANI #BeliaMadani #UsahawanBumiputera #AnugerahPERDASAMA #AzamanizamBaharon #DMDI #KebangkitanEkonomiBumiputera