KUALA LUMPUR, 3 November 2025 — Sekretariat Ikhlas Malaysia hari ini mendedahkan satu lagi kes penipuan perdagangan antarabangsa yang membabitkan dua syarikat tempatan dan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang dipercayai menipu syarikat Arab Saudi dalam urusan eksport minyak masak bernilai ratusan ribu ringgit.

Pengerusinya, Mohd Ridzuan Abdullah, berkata kes tersebut bukan sahaja melibatkan kerugian besar kepada pengimport luar negara, malah turut menjejaskan imej dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Syarikat Singapura ini terima bayaran di Singapura, tetapi beroperasi dan ada kilang di Malaysia. Mereka telah hantar tujuh kontena sebelum ini tanpa masalah, namun tiga kontena terakhir yang sudah dibayar — langsung tidak dihantar,” katanya dalam sidang media khas di ibu negara.
Beliau menjelaskan, syarikat terbabit didakwa menghilangkan diri selepas menerima bayaran lebih USD 100,000 (sekitar RM500,000) daripada pembeli luar negara.

“Pada awalnya mereka jawab telefon, tapi kemudian senyap terus. Ini menunjukkan mereka tidak mahu beri kerjasama. Lebih membimbangkan, apabila pihak pengimport luar negara menuduh syarikat Malaysia sebagai scammer, ia memberi kesan besar kepada imej negara,” tegas Mohd Ridzuan.
Menurutnya, pihak Sekretariat Ikhlas telah menghubungi Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang kini berada di Shanghai, dan mendapat jaminan bahawa MATRADE akan menyiasat perkara tersebut serta meneliti tindakan lanjut terhadap syarikat terbabit.

Selain kes itu, katanya, satu lagi syarikat tempatan turut disyaki menipu pengimport asing dalam transaksi sama — menerima bayaran tetapi tidak menghantar minyak masak selama lebih dua tahun.
“Kita tidak mahu Malaysia dilabel sebagai ‘negara scammer’. Bila pelabur dan pengimport luar hilang kepercayaan, ia akan jejaskan ekonomi negara. Kerajaan mesti ambil tindakan segera,” katanya.
Mohd Ridzuan turut mencadangkan agar MATRADE menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau urus niaga antarabangsa dan menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kes seperti ini supaya tidak berulang.
Beliau menegaskan, jika isu ini terus berlarutan tanpa tindakan, pihaknya akan membuat laporan polis dan mengadakan himpunan aman di hadapan Kedutaan Singapura bagi mendesak keadilan terhadap pihak yang menipu.
“Ini bukan kes kecil, ini isu nasional. Bila syarikat luar guna nama Malaysia untuk tipu orang luar, ia bukan sekadar mencemar nama baik negara, tapi juga menakutkan pelabur,” ujarnya.
Kes berkenaan dilaporkan sudah lebih tiga tahun tanpa sebarang tindakan lanjut daripada pihak berkuasa, meskipun laporan polis telah dibuat oleh mangsa di luar negara.
“Pihak polis mesti bertindak adil. Kalau laporan dah dibuat, siasatan mesti dijalankan. Jangan hanya rakyat tempatan yang ditindas, tapi bila bab syarikat luar yang menipu, senyap begitu saja,” katanya lagi.
Sekretariat Ikhlas menegaskan akan terus mendesak pihak berkuasa dan kementerian terlibat agar tidak membiarkan penjenayah perdagangan antarabangsa merosakkan nama baik Malaysia.
#SkandalMinyakMasak #ScamMalaysia #SingapuraMenipu #IkhlasMalaysia #MatradeBertindak #LindungiImejNegara #AntiScammer #EkonomiMalaysia #PerdaganganAdil #RidzuanAbdullah