KUALA LUMPUR, 23 April 2026 – Persiapan penganjuran T-Fight kini dilaporkan sudah hampir 80 peratus siap menjelang acara kemuncak yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa, dengan sambutan luar biasa diterima khususnya susulan penampilan nama besar dunia Muay Thai, Buakaw.
Pegawai Pemasaran T-Fight, Mohd Khairul Hafiz Hassan, berkata sesi media dan acara timbang berat yang berlangsung hari ini berjalan lancar, malah semua peserta berjaya melepasi kategori berat yang telah ditetapkan.
Menurut beliau, penganjuran kali ini memerlukan persiapan rapi dan berskala besar kerana melibatkan kos yang tinggi serta kehadiran legenda Muay Thai dunia yang menjadi tarikan utama peminat sukan tempur.
“Persiapan kita hampir 80 peratus. Sesi media berjalan lancar dan weigh-in hari ini juga Alhamdulillah semua lulus mengikut kategori berat. Untuk Stadium Titiwangsa pula, persediaan kali ini memang besar kerana nama Buakaw sendiri cukup besar, jadi acara ini mestilah tampil wow dan memuaskan penonton,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai hadir menyaksikan sendiri aksi “The Living Legend” itu yang bakal berentap secara langsung di Stadium Titiwangsa, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai tumpuan peminat Muay Thai tempatan dan antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Khairul Hafiz memaklumkan jualan meja atau table telah habis dijual, manakala tiket stadium kini hanya berbaki kira-kira 300 keping sahaja. Katanya, kapasiti stadium adalah terhad kepada sekitar 1,300 penonton, justeru orang ramai disaran mendapatkan tiket segera sebelum kehabisan.
Tambah beliau, tiket walk-in sudah mula dijual dan akan diteruskan sehingga 24 April, jam 8 malam, dengan harga tiket stadium bermula dari RM185 hingga RM285. Selain itu, peminat juga boleh mendapatkan akses PBB pada harga serendah RM19 menerusi platform rasmi T-Fight.
Mengulas matlamat lebih besar penganjuran itu, beliau berkata T-Fight turut bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Persatuan Muay Thai Malaysia dalam usaha membangunkan sukan Muay Thai dan pada masa sama menarik lebih ramai pelancong luar ke Kuala Lumpur.
Katanya, elemen ikonik Kuala Lumpur seperti KLCC yang dipaparkan pada bahan promosi acara bukan sekadar simbolik, malah membawa mesej bahawa Malaysia berupaya muncul sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa melalui platform Muay Thai.
Beliau turut memberi bayangan bahawa pihak penganjur sudah mempunyai senarai pendek beberapa lagi petarung ternama untuk dibawa ke T-Fight pada masa akan datang, sama ada hujung tahun ini atau tahun hadapan, sekali gus memberi petunjuk bahawa jenama T-Fight sedang diangkat ke tahap lebih besar.
#TFight2026 #BuakawDiMalaysia #StadiumTitiwangsa #MuayThaiMalaysia #BeritaAATV