
KUALA LUMPUR, 25April 2026 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menganjurkan Konsert Voices Of Ladies 2026 pada 25 dan 26 April 2026 di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan DBKL (IDB), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Program anjuran utama DBKL dengan kerjasama Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare) dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) sebagai rakan strategik serta penganjur bersama itu bukan sekadar mengetengahkan elemen hiburan, malah turut membawa agenda besar pemerkasaan wanita, pembangunan belia dan pengukuhan komuniti bandar.
Menariknya, konsert berkenaan akan menampilkan barisan artis tempatan ternama iaitu Liza Aziz, Noryn Aziz dan Aisha Retno yang bakal membuat persembahan dengan iringan Orkestra Kuala Lumpur.
Selain hiburan, program dua hari ini turut diisi dengan dua forum utama yang menyentuh isu penting berkaitan wanita dan generasi muda.


Hari ini, Forum Pemerkasaan Wanita akan menampilkan tokoh berpengalaman dan berpengaruh termasuk YBhg. Dato’ Seri TPR (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur; serta YB Senator Saraswathy Kandasami, Ahli Dewan Negara. Ia dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi.
Forum ini dikendalikan oleh YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman, Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan merangkap Presiden G100 Global Club.
Sementara itu, pada 26 April 2026, Forum Pemerkasaan Generasi Muda pula akan memberi tumpuan kepada aspirasi, cabaran dan peluang generasi muda menerusi perkongsian beberapa panelis berpengaruh.
Antara panelis yang dijadualkan hadir ialah Dr. Daphne Ng, Ketua Pegawai Eksekutif JomRun; Datin Ira Ghani, pengasas jenama Aura Seri; Kavita Maheendran, pemenang Anugerah Perdana Belia Negara dan penerbit kreatif; serta Asya Rahman, pengasas bersama jenama fesyen terkenal, Tuuju.
Forum Pemerkasaan Generasi Muda ini dimoderatorkan oleh YBrs. Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, Pengurus Besar Yayasan Basmi Kemiskinan merangkap Tokoh Belia Negara dan ASEAN 2017.
Sepanjang penganjuran program itu, orang ramai juga berpeluang mengunjungi gerai pameran dan jualan yang melibatkan pelbagai kategori termasuk keusahawanan, makanan dan minuman, produk komuniti serta pelbagai lagi.
Penganjuran Voices Of Ladies 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh pembangunan komuniti bandar melalui gabungan seni, pendidikan, jaringan sosial dan pemerkasaan ekonomi.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program tersebut sekali gus menyokong usaha memperkasa wanita dan generasi muda ke arah masa depan yang lebih progresif.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh mengimbas kod QR pada bahan promosi rasmi program.
#VoicesOfLadies2026 #WanitaBerdaya #BeliaMasaDepanNegara #DBKL #AATV