KUALA LUMPUR, 8 Mei 2026 – Penduduk Maplewoods Saujana melalui wakil Persatuan Penduduk Maplewoods Saujana atau Maplewoods Saujana Residents’ Association (MSRA) telah memfailkan permohonan Semakan Kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap keputusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung kelulusan kerja menaik taraf loji rawatan kumbahan sedia ada di Lot 5, dahulunya Lot 19, Off Persiaran Golf, Seksyen U2, Shah Alam.
Permohonan itu antara lain mencabar keputusan MBSA yang dimaklumkan melalui surat bertarikh 9 Februari 2026, yang didakwa meluluskan kerja naik taraf loji rawatan kumbahan sistem terbuka sedia ada daripada kapasiti kira-kira 8,000 PE kepada 19,000 PE.
Selain itu, penduduk turut membangkitkan isu berhubung dakwaan penarikan balik Perintah Henti Kerja yang sebelum ini dikeluarkan pada 28 Ogos 2025.
Menurut penduduk, loji rawatan kumbahan berkenaan terletak berhampiran kawasan kediaman serta taman permainan kanak-kanak, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius berkaitan bau, kesihatan awam, risiko alam sekitar dan keselamatan komuniti setempat.
Penduduk juga mendakwa terdapat isu ketidakpatuhan terhadap undang-undang perancangan, keperluan pembangunan serta garis panduan teknikal yang mengawal selia kemudahan rawatan kumbahan.
MSRA menegaskan bahawa tindakan Semakan Kehakiman itu dimulakan atas kepentingan awam bagi melindungi kesihatan, keselamatan, kebajikan serta kualiti hidup penduduk yang terkesan secara langsung dengan cadangan kerja naik taraf tersebut.
Dalam permohonan itu, penduduk turut memohon supaya beberapa dokumen teknikal dan perancangan didedahkan, yang didakwa tidak diberikan kepada mereka meskipun telah diminta berulang kali.
Antara dokumen yang dimohon termasuk perintah pembangunan, pelan zon, pelan susun atur, laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) serta laporan teknikal berkaitan projek tersebut.
Antara relief utama yang dipohon oleh pemohon ialah perintah untuk membatalkan kelulusan MBSA terhadap projek naik taraf loji rawatan kumbahan berkenaan, selain deklarasi bahawa kelulusan tersebut adalah tidak sah dan terbatal.
Pemohon turut memohon perintah supaya MBSA menguatkuasakan semula serta meneruskan Perintah Henti Kerja bertarikh 28 Ogos 2025, selain diarahkan mendedahkan dokumen perancangan dan teknikal berkaitan projek tersebut.
Pendengaran permohonan kebenaran bagi Semakan Kehakiman itu telah ditetapkan di hadapan Mahkamah Tinggi pada 8 Mei 2026.
Kes ini dijangka menjadi perhatian penduduk setempat kerana ia menyentuh isu pembangunan bandar, ketelusan pihak berkuasa tempatan serta hak komuniti untuk mendapatkan maklumat berkaitan projek yang didakwa memberi kesan langsung kepada kehidupan harian mereka.
#BeritaAATV #MaplewoodsSaujana #MBSA #IsuPenduduk #SemakanKehakiman