
KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 – Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperkasakan kebajikan dan agenda pendidikan anak-anak borneo yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara menerusi penyediaan pelbagai inisiatif dan bantuan kewangan yang komprehensif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Bin Mohd Arif berkata, kerajaan negeri telah menyediakan satu portal bersepadu bagi memudahkan para pelajar mengakses dan memohon pelbagai bentuk dana pendidikan yang ditawarkan.

Menurut beliau, portal tersebut menggabungkan pengurusan pelbagai bantuan utama termasuk dermasiswa daripada Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), pinjaman dan dermasiswa Yayasan Sabah, serta bantuan daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).

Selain itu, bantuan khusus turut disalurkan menerusi inisiatif-inisiatif di bawah Pejabat Tugas-Tugas Khas Jabatan Ketua Menteri Sabah.

”Saya meminta kepada mana-mana pelajar, atau rakan mereka yang belum mendapat bantuan, untuk segera mendapatkannya melalui portal bersepadu yang telah kita sediakan. Alhamdulillah, sebahagian besar daripada mahasiswa kita telahpun menikmatinya,” katanya selepas menghadiri program ramah mesra dan silaturahim bersama mahasiswa Sabah dari tiga buah universiti, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Mohd Arifin menjelaskan bahawa platform berkenaan bertujuan untuk memberi suntikan semangat serta menyampaikan maklumat terkini berhubung perkembangan dan bantuan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa siri jelajah menyantuni mahasiswa Sabah akan diteruskan ke negeri-negeri lain bagi memastikan tiada golongan pelajar yang tercicir daripada menerima maklumat dan bantuan.


”Selepas ini, pada bulan hadapan, kita akan membuat kunjungan bagi menyantuni anak-anak kita yang belajar di Johor dan Melaka, Insya-Allah. Selepas itu, kita akan menjelajah juga ke beberapa wilayah lain termasuk Sarawak, Labuan, dan seterusnya kembali ke Sabah,” tambah beliau.

Para mahasiswa Sabah yang memerlukan bantuan pendidikan dinasihatkan untuk segera melayari portal rasmi bersepadu yang telah disediakan oleh kerajaan negeri bagi memastikan proses permohonan dapat dilakukan dengan kadar segera.

#AATV #BantuanPendidikanSabah #MahasiswaSabah #YayasanSabah #SabahMajuJaya