
MEKAH – Di sebalik kesibukan menunaikan rukun Islam kelima, Jemaah Haji Malaysia di Maktab 66, Hotel Abraj Al-Janadyriah mengambil inisiatif unik bagi merapatkan ukhuwah dengan menganjurkan Kejohanan Ping Pong Beregu Piala Haji Abraj Mantan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Rahim 2026.

Inisiatif julung kali itu mendapat sokongan penuh daripada Mantan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, yang menyifatkannya sebagai aktiviti terbaik untuk mengisi masa lapang di luar waktu ibadah, khususnya selepas jemaah selesai mengerjakan ibadah haji minggu lalu.

Menurut beliau, aktiviti sukan dan rekreasi ringan seperti ping pong ini mampu mengurangkan kebosanan serta menghilangkan kepenatan mental jemaah yang telah berada di Tanah Suci melebihi sebulan.
”Kita di sini bukan sekadar datang untuk beribadat semata-mata, tetapi apabila ada aktiviti sukan dan rekreasi ringan… sekaligus akan mengurangkan kebosanan di luar waktu ibadah dan menghilangkan kepenatan mental Jemaah Haji,” katanya selepas merasmikan kejohanan itu semalam.
Cadang TH Sedia Kemudahan ‘Indoor Games’ Inter-Maktab

Melihat kepada impak positif kejohanan tersebut, Datuk Seri Abdul Azeez berharap agar program seumpama ini dikembangkan ke seluruh maktab penginapan Jemaah Haji Malaysia pada masa hadapan, termasuk cadangan mengadakan pertandingan antara maktab.

Beliau turut menyarankan agar pihak pengurusan menyediakan kemudahan meja ping pong atau permainan dalaman (indoor) lain di setiap maktab yang belum memilikinya bagi memudahkan jemaah beriadah.
Bermula Dari ‘Suka-Suka’ Jadi Kejohanan Rasmi
Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Kamaruzzaman Kedah mendedahkan bahawa kejohanan tersebut berjaya menghimpunkan sebanyak 12 pasangan beregu lelaki. Jelasnya, idea penganjuran ini tercetus secara spontan hasil kesepakatan jemaah yang sering bermain bersama setiap hari.

”Alhamdulillah kita berjaya menganjurkan kejohanan ini yang pada asalnya kita hanya bermain suka-suka sahaja, tetapi timbul idea untuk menganjurkan satu pertandingan apabila saya melihat ramai Jemaah Haji di Maktab 66 ini yang boleh bermain ping pong dengan baik,” kata Kamaruzzaman.
Pihak penganjur turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Azeez atas sumbangan hadiah dan kesudian merasmikan acara tersebut.
Kamaruzzaman turut berharap agar pihak pengurusan Tabung Haji (TH) mengambil serius cadangan ini untuk diteruskan oleh jemaah haji pada tahun-tahun mendatang demi kesejahteraan fizikal dan mental jemaah Malaysia.
-AATV
#AATV #JemaahHaji2026 #PingPongMekah #TabungHaji #MekahHariIni