
MUAR, 3 Mac – Ruang Daya Cipta (RDC) Sungai Balang, Johor kini bersedia untuk ditransformasikan sebagai pusat inovasi utama menerusi cadangan satu blueprint strategik. Langkah ini dilihat mampu memperkukuh ekosistem inovasi komuniti serta memacu sosioekonomi luar bandar melalui pendekatan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI).
Cadangan itu telah dibincangkan dalam satu sesi lawatan kerja dan perbincangan strategik yang melibatkan pelbagai pemegang taruh penting termasuk Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Akademi Sains Malaysia (ASM), pihak universiti, agensi kerajaan, serta komuniti setempat bagi menjayakan Pusat Pembangunan STI Komuniti (PPSTI @ Komuniti).

RDC Sebagai Hab Bakat & Inkubator Inovasi
Melalui pelan komprehensif ini, RDC tidak lagi berfungsi secara pasif, sebaliknya bakal diperkasakan sebagai hab pembangunan bakat, inkubator inovasi, serta platform kolaborasi antara komuniti, industri, dan kerajaan.
Pengarah Urusan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), Dato’ Haji Mustaffa Kamal Dato’ Haji Shamsudin menegaskan, komitmen dan keselarasan visi antara semua pihak adalah kunci utama kejayaan projek ini.
“Kami mengalu-alukan mana-mana entiti, organisasi atau universiti yang ingin membantu dan berkolaborasi atas falsafah pemerkasaan secara bersama. Namun cabaran akan timbul sekiranya aspirasi pembangunan negeri tidak dihayati. Jika semua organisasi tidak menyokong satu matlamat yang sama, usaha yang dirancang sukar untuk direalisasikan,” tegas beliau.
Beliau turut menambah bahawa RDC ini merupakan simbol keprihatinan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta YIM kepada daerah berkenaan.
Pendekatan Berorientasikan Misi & 6 Inisiatif Utama
Bagi memastikan impak yang realistik, pendekatan yang dicadangkan oleh ASM akan berorientasikan misi (mission-oriented approach) yang memfokuskan kepada penyelesaian masalah sebenar rakyat, selaras dengan Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2025 – 2030.
Enam inisiatif utama yang telah dikenal pasti adalah:
Keterjaminan dan Kedaulatan Makanan
Teknologi Kuantum
Pendigitalan Sektor Kesihatan
Pembungkusan Termaju
Masyarakat Menua
Penciptaan Nilai dalam Industri Sawit
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh mendedahkan impak isu rantaian bekalan global yang tidak stabil menuntut masyarakat untuk lebih berdikari melalui inovasi sosial.
“Para inovator sendiri menyatakan bahawa bekalan bahan sering berubah dan tidak stabil. Justeru, inovasi sosial amat penting supaya kita mampu berdikari dalam aspek seperti keselamatan makanan, pendidikan dan pelbagai keperluan lain. Ketika ini kita terlalu bergantung kepada pihak luar, dan keadaan itulah yang menyebabkan pelbagai cabaran berlaku,” kata Dr. Sharmila.
Dari Idea Ke Pasaran: Projek V-CRABS & i-Mistroom Sedia Mengubah Muar
Bagi fasa awal, beberapa projek inovasi komuniti berimpak tinggi sedia untuk dibawa ke RDC Sungai Balang termasuk V-CRABS, Mesin Pencetak Baju – Flexsilk, R.A BARN, dan i-Mistroom Cendawan Komuniti. Projek-projek ini dijangka mampu membantu penduduk setempat menjana pendapatan baharu, mencipta peluang pekerjaan, serta meningkatkan literasi teknologi tempatan.
Mengulas mengenai ekosistem tersebut, Pengerusi Living Lab Muar, Ts. Dr. Nor Azizi Yusoff menyatakan keyakinan bahawa blueprint yang jelas akan memberi tonik tambahan kepada golongan penyelidik untuk menghasilkan produk yang praktikal untuk pasaran.
“Apabila kita mempunyai blueprint yang jelas dan ekosistem sokongan disediakan, individu akan lebih yakin untuk mencuba dan terus berkarya. Dengan bimbingan dan sokongan yang betul, kita boleh memimpin serta membantu mereka menghasilkan sesuatu yang lebih bermakna,” ujar Dr. Nor Azizi.
Kejayaan RDC Sungai Balang ini diharapkan bakal menjadi ‘role model’ atau acuan terbaik bagi pusat pembangunan STI komuniti yang boleh direplikasikan ke seluruh daerah di Johor dan Malaysia pada masa hadapan.
#AATVNews #InovasiKomuniti #RDCSungaiBalang #SainsTeknologiInovasi #EkonomiLuarBandar