
BEHRANG, 9 Jun 2026 – Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) terus memperkukuh
peranannya sebagai institusi TVET yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan dan latihan teknikal, malah aktif memacu pembangunan komuniti menerusi pelaksanaan Program CSR CARE AND RESTORE 2026. Program berimpak tinggi ini berjaya menghimpunkan lebih 450 warga kampus serta pelbagai rakan strategik dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih lestari, selamat dan kondusif.
Program yang dianjurkan oleh Unit CSR PSAS dan Unit Latihan dan Pembelajaran Sepanjang
Hayat (ULPL) dengan kerjasama See Boon Yong Construction (M) Sdn. Bhd. ini memberi fokus kepada aktiviti pemulihan, penyelenggaraan dan penambahbaikan fasiliti kampus secara
gotong-royong. Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk alumni PSAS, komuniti setempat, industri dan agensi kerajaan.

Menurut Pengarah PSAS, CARE AND RESTORE 2026 merupakan manifestasi semangat
kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang merentasi sempadan jabatan, organisasi dan
generasi alumni.
“Program ini membuktikan bahawa pembangunan kampus yang berkualiti bukan hanya menjadi tanggungjawab institusi semata-mata, malah memerlukan penglibatan aktif semua pihak termasuk warga kampus, alumni, industri, komuniti dan agensi kerajaan. Inilah kekuatan sebenar CARE AND RESTORE 2026.”

Sepanjang program berlangsung, peserta melaksanakan pelbagai aktiviti pemulihan dan
menaik taraf kemudahan kampus termasuk kerja-kerja membaik pulih whiteboard dan meja pelajar, pemasangan lampu kawasan parkir, baik pulih lantai bilik kuliah, penyelenggaraan pentas Dewan Kuliah Utama, pengecatan semula ruang lobi Unit ICT, menceriakan monumen utama PSAS serta pemasangan karpet dan pengindahan ruang pembelajaran CADD.

Apa yang lebih membanggakan, program ini turut menerima sokongan dan sumbangan
daripada alumni PSAS yang sentiasa komited menyumbang kembali kepada PSAS yang telah
menjadi asas pembentukan ilmu, kemahiran dan kerjaya mereka. Antara alumni yang terlibat dalam menyokong dana dan sumber bagi menjayakan gerak kerja pemulihan dan
penyelenggaraan fasiliti kampus ialah Puncak Kejora Resources, SAZ Garage dan Shabina
Enterprise.

Sokongan yang diberikan membuktikan hubungan erat antara PSAS dan para alumninya yang terus memainkan peranan penting dalam pembangunan institusi serta kesejahteraan warga kampus. Sumbangan ini bukan sahaja membantu mempertingkatkan kemudahan pembelajaran, malah menjadi inspirasi kepada pelajar untuk terus mengekalkan hubungan dengan institusi
selepas menamatkan pengajian.

Selain itu, pekerja pembersihan dan lanskap kampus turut tampil sebagai sukarelawan yang
memainkan peranan penting sepanjang pelaksanaan program. Penglibatan mereka
mencerminkan semangat kerja berpasukan dan rasa tanggungjawab bersama dalam
memastikan persekitaran kampus sentiasa bersih, selamat dan selesa untuk digunakan oleh seluruh warga PSAS.

Program CARE AND RESTORE 2026 juga disokong secara tidak langsung oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muallim menerusi pelaksanaan Program Hari Tanpa Aedes ASEAN Peringkat PSAS yang dijalankan serentak. Kerjasama ini memperlihatkan komitmen bersama dalam meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap aspek kesihatan awam, kebersihan persekitaran dan pencegahan pembiakan nyamuk Aedes, sekali gus menyokong agenda kampus sihat dan lestari.
Lebih menarik, CARE AND RESTORE 2026 berjaya menghimpunkan pensyarah, staf
pentadbiran, staf sokongan, pekerja pembersihan, alumni dan rakan industri dalam satu platform kolaboratif yang memperkukuhkan jaringan kerjasama rentas sektor. Program ini menjadi bukti bahawa budaya kerja berpasukan dan semangat sukarelawan mampu menjadi pemangkin kepada transformasi institusi pendidikan yang mampan.
Melalui pelaksanaan program ini, PSAS menjangkakan pelbagai impak positif termasuk
peningkatan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna kampus, pembangunan kemahiran penyelenggaraan asas dalam kalangan warga institusi, penjimatan kos operasi jangka panjang, pengukuhan jaringan alumni serta peningkatan imej pengurusan fasiliti kampus.
CARE AND RESTORE 2026 membuktikan bahawa transformasi kampus bukan hanya
bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi lahir daripada semangat
kebersamaan, keprihatinan dan rasa tanggungjawab yang dikongsi oleh seluruh komuniti. Melalui kolaborasi erat antara institusi, alumni, industri, komuniti dan agensi kerajaan, PSAS terus melakar langkah ke hadapan sebagai kampus TVET yang progresif, lestari dan berdaya saing.