
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2026 – Isu membabitkan institusi Tabung Haji (TH) didakwa sengaja dimanipulasikan oleh pihak tertentu bagi melemahkan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
Ketua UMNO Bahagian Bangi merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Dato’ Dr. Mohd Zaidi Md Zain, menegaskan bahawa kehadiran beliau ke program wacana berkenaan adalah untuk mendengar sendiri penjelasan daripada pihak berautoriti yang terlibat secara langsung.
Menurut beliau, taklimat daripada dua tokoh utama, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dan Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah, telah merungkai kedudukan sebenar TH sekali gus menolak pelbagai tohmahan dan naratif ‘sakau’ yang dicanang sebelum ini.
”Kedua-dua tokoh ini telah menceritakan kedudukan sebenar Tabung Haji. Dakwaan wujudnya ‘sakau’ dan penyelewengan langsung tidak pernah disebut di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI),” tegas beliau.
Mengulas lanjut mengenai RCI TH, Dr. Mohd Zaidi menyifatkan siasatan tersebut sebagai ‘separuh masak’ sekiranya hanya meneliti tempoh masa tertentu dan tidak menyeluruh.
Beliau menuntut agar tempoh siasatan RCI dilanjutkan dari tahun 2018 sehingga ke hari ini bagi membolehkan rakyat melihat gambaran sebenar sama ada kerugian benar-benar berpunca daripada penyelewengan atau sekadar sentimen kejatuhan pasaran saham.
Dr. Mohd Zaidi turut membandingkan rekod pentadbiran BN yang berjaya mengekalkan kos haji pada kadar rendah sekitar RM8,000 berbanding lonjakan kos sehingga RM33,000 semasa era kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau turut meluahkan kebimbangan mengenai dakwaan penjualan aset strategik TH kepada entiti perniagaan bukan Melayu ketika pentadbiran PH, yang didakwanya bertentangan dengan semangat penubuhan akta institusi itu sendiri.
Menutup kenyataan, beliau menyeru agar isu kebajikan jemaah dan pendeposit tidak dijadikan modal politik semata-mata demi mengelirukan rakyat apabila gagal membuktikan tuduhan.
Penerangan bersiri secara langsung akan terus dipergiat bagi memberi kefahaman penuh kepada masyarakat mengenai fakta sebenar kedudukan Tabung Haji.
#BeritaAAC #TabungHaji #IsuSemasa #PolitikMalaysia #UMNOBangi