KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa semua penyedia platform p-hailing di negara ini agar menghentikan sebarang bentuk hukuman atau penalti terhadap penghantar beragama Islam yang menolak pesanan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.
PPIM menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar masalah teknikal operasi, sebaliknya menyentuh hak asasi pekerja Muslim untuk mencari rezeki yang halal tanpa dipaksa mengorbankan pegangan agama mereka.
Persatuan tersebut menzahirkan kebimbangan serius berhubung tindakan menolak pesanan tidak halal yang didakwa menjejaskan kadar penerimaan pesanan (acceptance rate) rider. Keadaan ini secara langsung mengurangkan peluang mereka menerima pesanan seterusnya, menjejaskan insentif, serta berisiko digantung akaun.
Menurut PPIM, sistem algoritma platform p-hailing tidak wajar mengenakan ‘penalti tersembunyi’ kepada rider yang menolak tugasan atas alasan agama yang munasabah. Perkembangan teknologi sepatutnya memudahkan urusan manusia dan bukannya menindas kebajikan pekerja.
Bagi menyelesaikan kemelut ini, PPIM mencadangkan pelaksanaan mekanisme pengecualian berasaskan agama (religious exemption). Melalui ciri ini, sistem secara automatik akan mengagihkan pesanan tidak halal kepada penghantar bukan Islam tanpa menjejaskan skor prestasi penghantar Muslim.
Langkah ini dilihat sebagai pendekatan menang-menang yang menghormati hak pengguna bukan Islam untuk mendapatkan perkhidmatan, di samping memelihara sensitiviti agama para pekerja.
Sehubungan itu, PPIM turut mendesak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memainkan peranan proaktif memandangkan isu integriti halal kini telah berkembang melangkaui pensijilan makanan ke dalam rantaian ekonomi digital.
Selain JAKIM, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) digesa meneliti isu diskriminasi algoritma ini di bawah kerangka pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) bagi memastikan kebajikan dan hak ekonomi pekerja gig dilindungi.
PPIM turut mengesyorkan agar satu garis panduan nasional berasaskan standard Halal Logistik MS2400 diwujudkan bersama pihak berkepentingan bagi menyeragamkan polisi perlindungan di semua platform p-hailing.
PPIM mengingatkan semua pihak bahawa penghantar makanan keluar bekerja demi menyara keluarga dan mereka tidak sepatutnya dihukum oleh sistem hanya kerana ingin memastikan punca rezeki kekal berkat.





#RiderMuslim #PPIM #BoikotPenalti #PekerjaGig #BeritaAAC