
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar mempersoalkan tindakan kerajaan yang dilihat lebih mempercayai firma audit antarabangsa, PricewaterhouseCoopers (PwC), berbanding kewibawaan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji (RCI TH).
Isu tersebut timbul susulan pendedahan mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, yang mendakwa beliau dinafikan hak untuk hadir serta memberi penjelasan mewakili JAN dalam prosiding RCI berkenaan.
Gulam menegaskan, JAN merupakan agensi rasmi kerajaan yang bertanggungjawab memastikan standard dan laporan audit agensi seliaan kerajaan sentiasa berada pada tahap telus, profesional, serta berintegriti tinggi.
Menurut beliau, tindakan menafikan kehadiran Tan Sri Madinah adalah tidak wajar memandangkan kapasiti beliau sebagai individu yang pernah meluluskan Sijil Audit Bersih kepada Tabung Haji sebelum ini.
Beliau mendakwa gambaran dalam prosiding RCI TH seolah-olah memperlihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih meletakkan kepercayaan kepada laporan PwC sebagai “senjata dan peluru” untuk membuktikan naratif dakwaan penyelewengan.
Gulam turut mengingatkan bahawa PwC merupakan sebuah entiti korporat antarabangsa berpusat di London yang berorientasikan keuntungan komersial, berbeza dengan peranan institusi semak dan imbang sektor awam.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak kerajaan mendedahkan jumlah kos sebenar yang dibayar kepada firma berkenaan bagi penyediaan laporan audit RCI TH yang menggunakan dana rakyat.
Beliau menganggarkan kos pelantikan firma swasta itu mencecah jutaan ringgit dan menuntut ketelusan penuh di bawah prinsip perbelanjaan wang awam.
Gulam turut memberi amaran bahawa sikap tidak mempercayai agensi kerajaan sendiri secara perlahan-lahan boleh ‘membunuh’ kredibiliti institusi perkhidmatan awam demi kepentingan agenda luar.
Beliau melahirkan kebimbangan sekiranya trend ini berterusan, kepimpinan institusi penting negara lain seperti Peguam Negara, SPRM, Polis Diraja Malaysia, dan Bank Negara Malaysia juga mungkin tidak lagi diyakini apabila dapatan mereka bertentangan dengan kehendak politik pihak berkuasa.
#BeritaAAC #RCITabungHaji #JabatanAuditNegara #PwC #PolitikMalaysia