
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2026 – Dakwaan kononnya berlaku penyelewengan dan aktiviti ‘sakau’ dana Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan sebagai tohmahan liar yang berniat politik dan tidak berasas sama sekali.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli menegaskan bahawa fakta sebenar telah dirungkai secara telus dalam forum Muzakarah Nasional mengenai isu TH dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut beliau, dua panelis berwibawa iaitu mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad serta mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap bekas Ahli Lembaga Pengarah TH, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah telah memperincikan kedudukan sebenar institusi berkenaan.
Jelas Syed Rosli, Tan Sri Madinah mengesahkan sepanjang tempoh beliau mengaudit TH dari tahun 2017 hingga 2019, tiada sebarang unsur kecurian atau kehilangan dana berlaku, selain mengingatkan bahawa TH beroperasi di bawah aktanya yang tersendiri sama seperti KWSP dan PERKESO.
Beliau turut menyelar kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk ahli Parlimen yang sebelum ini lantang menuduh orang Melayu menyakau wang umat Islam sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap pengurusan agensi tersebut.
Menyentuh isu kerugian pelaburan TH, beliau memetik penjelasan Tan Sri Dr. Irwan Serigar bahawa rekod kerugian ketara berlaku selepas pertukaran kerajaan pada 2018 akibat penjualan panik aset dan saham berprestasi tinggi seperti Maxis dan YTL ketika pasaran saham merosot.
Sehubungan itu, Syed Rosli menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bersikap matang sebagai seorang negarawan dan tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan tanpa bukti sahih di pentas ceramah.
Bagi menamatkan polemik berpanjangan, beliau turut mencadangkan penubuhan RCI baharu yang merangkumi siasatan dari tahun 2020 hingga 2025 bagi menyiasat secara menyeluruh punca sebenar kerugian yang dicatatkan institusi itu.
#BeritaAAC #TabungHaji #IsuSemasa #SyedRosli #PolitikMalaysia