
KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2026 – Barisan Nasional (BN) digesa untuk memikirkan secara serius hala tuju politik yang lebih berani dan radikal demi memastikan kelangsungan parti itu dalam landskap politik semasa tanah air.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, pengorbanan besar BN mengangkat dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong pasca PRU15 bagi menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) seolah-olah tidak dihargai, ibarat ‘air susu dibalas tuba’.
Menurut beliau, sokongan 30 Ahli Parlimen BN pada ketika itu merupakan faktor penentu yang membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Namun, selepas lebih tiga tahun berada dalam gabungan tersebut, beliau mendakwa BN kini berdepan usaha berterusan daripada rakan sekutu sendiri yang bimbang melihat kebangkitan semula pengaruh parti berkenaan.
Gulam menegaskan, kejayaan BN dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Nenggiri dan Mahkota, serta Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan, telah mencetuskan kegelisahan dalam kalangan pimpinan PH.
Beliau mendakwa PH kini melihat kemaraan BN sebagai satu bentuk ancaman politik dan musuh yang cuba disekat, walaupun kedua-dua gabungan tersebut berada di bawah payung pentadbiran yang sama.
Mengulas lanjut, Gulam menyifatkan tindakan terus bergantung kepada sekutu yang didakwanya mempunyai kelemahan dasar, tiada keikhlasan, dan sering melakukan intimidasi politik sebagai satu percaturan yang merugikan.
Tambah beliau, penolakan rakyat terhadap PH dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini membuktikan kegagalan strategi gabungan itu sendiri, manakala BN kekal bertahan dan tidak pernah melakukan serangan balas walaupun diasak dari pelbagai sudut.
Justeru, beliau menegaskan bahawa masa untuk BN sekadar bertahan dan berdiam diri sudah berlalu, sambil menyeru agar keputusan tegas diambil bagi merombak keseluruhan diagram politik Malaysia.
Beliau turut menambah, barisan akar umbi kini sedang menanti isyarat jelas daripada pucuk pimpinan untuk mengambil tindakan politik yang lebih tegas, termasuk bersikap mementingkan kelangsungan sendiri (selfish) demi survival masa depan BN.
#PolitikMalaysia #BarisanNasional #UMNO #PakatanHarapan #BeritaAAC