KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2026 – UMNO Bahagian Batu menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil mendedahkan isu kebanjiran warga asing dan pendatang tanpa izin (PATI) di sekitar Parlimen Batu.
Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar berkata, pemantauan rapi mendapati isu kehadiran warga asing dan etnik Rohingya semakin membimbangkan di beberapa kawasan tumpuan.
Kawasan tersebut merangkumi Pusat Bandar Utara, Kampung Selayang Lama, Taman Wilayah Selayang, Taman Desa Bakti serta Taman Sri Murni.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penduduk Kampung Selayang Lama, kumpulan Reef & Team, Abang NGO Surplus, Selayang Vision serta Awie MBR daripada Koroi TV atas keberanian mereka membongkar situasi sebenar di lapangan.
Menurutnya, tindakan sukarela itu wajar dipuji kerana bermatlamat mempertahankan keselamatan, ketenteraman serta kesejahteraan penduduk tempatan dan bukannya satu kesalahan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tidak bersikap defensif, cepat terasa atau melatah dengan pendedahan berani yang dilakukan pihak berkenaan.
Sebaliknya, PBT dan agensi penguatkuasaan digesa menerima maklumat tersebut secara positif sebagai dorongan untuk mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan undang-undang secara menyeluruh.
Datuk Gulam turut memberi contoh kejayaan pembongkaran penempatan haram etnik Rohingya di Jalan Murai (Off Jalan Ipoh) sebelum ini yang berjaya dimusnahkan pihak berkuasa dalam tempoh dua bulan hasil tindakan positif semua pihak.
Beliau menegaskan, sambutan Hari Kebangsaan akan menjadi jauh lebih bermakna sekiranya kawasan-kawasan kejiranan di Parlimen Batu bebas sepenuhnya daripada ancaman kebanjiran warga asing tanpa izin.
#BeritaAAC #ParlimenBatu #IsuWargaAsing #GulamMuszaffar #OpsPATI