
KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2026 — Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia hari ini menegaskan pendirian tegas berhubung prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law), dengan menolak sebarang cubaan membentuk persepsi menghukum individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahannya oleh mahkamah yang berbidang kuasa.
Menurut beliau, tindakan memalukan atau mengaibkan mana-mana individu sebelum proses undang-undang selesai secara jelas bertentangan dengan prinsip keadilan serta doktrin anggapan tidak bersalah (Presumption of Innocence).
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO tetap konsisten tidak akan sesekali mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan mahupun penyimpangan, termasuk jika ia melibatkan ahli atau kepimpinan parti sendiri.
Menyentuh landskap politik semasa, MKT UMNO mengambil maklum pelbagai kajian empirikal yang menunjukkan sentimen rakyat, khususnya orang Melayu, mendambakan agenda penyatuan ummah dan kestabilan politik berteraskan keindukan Melayu.
Susulan itu, mesyuarat bersetuju memberi mandat kepada kepimpinan UMNO Negeri untuk memulakan perbincangan dan perundingan bersama parti-parti politik yang berhasrat menjalin kerjasama bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
”Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan dan gertakan,” jelas Dr. Asyraf Wajdi dalam kenyataan rasmi malam ini.
Langkah penyatuan itu diteruskan dengan keputusan parti memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi PAS untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, sebagai tanda timbal balik atas jemputan ke Muktamar Tahunan PAS sebelum ini.
Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 12 September depan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Sebagai pengisian awal, tiga acara utama yang terbuka kepada orang awam akan dianjurkan pada 8 September, iaitu Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia serta Laman Wanita Kreatif.
Mesyuarat MKT itu turut menyaksikan pelantikan dan upacara angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Datuk Ismail Lasim sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang baharu.


#BeritaAAC #MKTUMNO #PenyatuanUmmah #PAU2026 #PolitikMalaysia