
KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2026 – Penduduk di sekitar Titiwangsa meluahkan rasa kesal berhubung sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur sebuah acara yang membiarkan longgokan sampah bertimbun di padang awam Jalan Setapak sejak dua hari lalu.
Aktivis masyarakat, Hussen Zulkarnai berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai pencemaran sisa makanan dan sampah sarap yang dibiarkan terbiar selama lebih 48 jam di laluan utama tersebut.
Beliau menyatakan padang berkenaan sering dijadikan lokasi program kemasyarakatan dan aktiviti sekolah berhampiran, namun isu kebersihan kerap diabaikan sebaik sahaja upacara atau acara tamat.
”Ini adalah jalan utama yang menghubungkan kawasan Setapak, Melawati, dan Wangsa Maju menghala ke ibu negara, namun dihidangkan dengan pemandangan serta bau sisa makanan yang sangat menyakitkan mata,” katanya.
Hussen turut membandingkan situasi tersebut dengan ketegasan pihak kerajaan yang mengenakan denda sehingga RM2,000 kepada individu yang membuang sampah merata-rata semasa sambutan ambang Merdeka.
Beliau mempersoalkan tindakan penguatkuasaan terhadap penganjur program yang secara jelas meninggalkan sampah secara terbuka di ruang awam tanpa sebarang usaha pembersihan segera.
Selain isu kebersihan, Hussen turut membangkitkan persoalan mengenai status padang awam milik kerajaan tersebut yang didakwa telah dipagar oleh pihak tertentu seolah-olah menjadi hak milik persendirian.
Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur bagi memastikan kawasan awam kekal bersih dan terpelihara.
#BeritaAAC #KualaLumpur #IsuKebersihan #Setapak #AduanRakyat.