KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2026 – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyifatkan kenyataan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerusi Setiausaha Agungnya baru-baru ini hanyalah cubaan terdesak untuk membersihkan imej pemimpin mereka yang terpalit dengan pelbagai isu integriti.
Ketua Penerangan PUTRA, Shahrulufti Sharif berkata, tindakan tersebut dilihat sebagai usaha ‘membeli masa’ bagi menyelamatkan kedudukan politik mereka, khususnya susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) dan pelbagai skandal berprofil tinggi lain.
Menurut beliau, sekiranya kelompok tersebut kembali berkuasa sepenuhnya, terdapat kebimbangan bahawa tiada sebarang pendakwaan akan diteruskan dengan alasan kekurangan bukti, mengulangi corak kes-kes sebelum ini yang terhenti separuh jalan atas budi bicara Peguam Negara.
”Benar, dari sudut perundangan seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum diputuskan oleh mahkamah. Namun dalam realiti politik, seorang pemimpin bukan sahaja wajib bersih, malah wajib dilihat bersih di mata umum.
”Rakyat berhak membuat penilaian melalui ‘mahkamah rakyat’ yang bertindak jauh lebih pantas berbanding proses mahkamah undang-undang yang sering memakan masa bertahun-tahun sebelum berakhir dengan keputusan DNAA (Dilepas Tanpa Dibebaskan) atau NFA (Tiada Tindakan Lanjut),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulufti turut menegaskan bahawa ruang manipulasi dalam sistem perundangan dan kuasa budi bicara pendakwaan telah menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi kehakiman negara, sehingga memaksa rakyat menyuarakan bantahan melalui media sosial dan ceramah terbuka sementara menunggu mandat Pilihan Raya Umum.
Mengulas lanjut, beliau membangkitkan pelbagai kepincangan yang disaksikan rakyat seperti pembayaran sewa hotel RM1.3 bilion tanpa syarat lengkap dalam isu TH, transaksi pelaburan meragukan, serta skandal legasi lain merangkumi Kapal Tempur Pesisir (LCS), FELDA, FELCRA, Prasarana dan pelupusan aset negara.
Beliau menambah, gaya hidup mewah luar biasa sesetengah pemimpin politik, pesara, mahupun pegawai kanan kerajaan bersama ahli keluarga mereka yang tidak sepadan dengan pendapatan bulanan rasmi menjadi bukti ketara yang tidak boleh disembunyikan lagi daripada pemerhatian umum.
”Rakyat tidak buta dan jangan sesekali memperlekeh minda mereka. Rakyat mungkin boleh ditipu sesekali, tetapi bukan untuk selama-lamanya.
”Maka ‘mahkamah rakyat’ akan terus bersidang dan bersuara tanpa henti sementara menanti proses kehakiman rasmi berjalan,” tegasnya mengakhiri kenyataan.
#BeritaAAC #MahkamahRakyat #IntegritiPemimpin #RCITabungHaji #PolitikMalaysia