
KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2026 — Pengumuman kerajaan berkaitan penambahan kuota program BUDI MADANI daripada 200 liter kepada 300 liter disifatkan sebagai satu langkah terdesak dan ‘gula-gula politik’ selepas menerima gelombang ketidakpuasan hati rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar berkata, perubahan dasar secara tiba-tiba itu menunjukkan ketiadaan konsistensi dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri.
Menurut beliau, sekiranya penetapan awal kuota tersebut dirasakan wajar dan tepat, pihak kerajaan tidak sepatutnya membuat pusingan dengan mengubah jumlah kuota berkenaan.
”Bila dapat signal rakyat marah di Johor dan Negeri Sembilan disebabkan kos sara hidup serta kenaikan harga bahan bakar yang tinggi, ini semua dilihat sebagai langkah terdesak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa reaksi masyarakat di media sosial membuktikan rakyat kini bersikap skeptikal terhadap setiap pengumuman yang dibuat oleh pentadbiran negara.
Tambahnya, ruang komen di media sosial kini dipenuhi dengan reaksi ketawa dan sindiran, bukannya ucapan terima kasih atau rasa syukur, menandakan hilangnya keyakinan terhadap ketelusan dasar tersebut.
Gulam Muszaffar turut mengimbau corak pengumuman serupa yang pernah berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, di mana pelbagai tawaran seperti elaun penjawat awam dan elaun pelajar diumumkan ketika kedudukan politik mula terancam.
Tegas beliau, agenda reformasi yang dilaung-laungkan sepatutnya terus diterjemahkan daripada manifesto sebaik sahaja memegang mandat, tanpa perlu menunggu desakan atau kekalahan dalam gelanggang pilihan raya.
Beliau menyimpulkan bahawa situasi semasa jelas mencerminkan keadaan kerajaan yang semakin terhimpit susulan pengaruh dalaman dan sokongan akar umbi yang kian merosot.
”Kalau anak sendiri pun sudah hilang percaya kepada kepimpinan, apatah lagi rakyat luar sana. Tepuk dada, tanya selera,” ujarnya mengakhiri perbualan.
#BudiMadani #GulamMuszaffar #BeritaAAC #PolitikMalaysia #DasarKerajaan