
KUALA LUMPUR — Tindakan pendakwaan terhadap beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) ketika ini dilihat bukan sekadar proses perundangan biasa, sebaliknya berkemungkinan sarat dengan intimidasi dan bermotifkan politik.
Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar menyuarakan kebimbangan tersebut susulan beberapa siri tindakan undang-undang yang mula menyasarkan ahli-ahli parlimen pembangkang dan sekutu.
Mengulas perkara itu, beliau merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung UMNO sebelum ini yang menegaskan bahawa sebarang bentuk rundingan atau usaha pembentukan gabungan sepatutnya digerakkan secara ikhlas tanpa sebarang unsur gertakan mahupun ugutan.
Menurut beliau, perkembangan semasa menunjukkan wujudnya isyarat jelas mengenai cubaan menekan pihak-pihak tertentu agar akur dengan kehendak atau agenda pihak lain dalam percaturan kuasa politik tanah air.
Gulam menegaskan, langkah membawa seseorang pemimpin ke mahkamah atau mengenakan tahanan reman bukanlah satu penanda aras bahawa individu berkenaan telah sah bersalah.
Beliau menambah, setiap pertuduhan memerlukan pembuktian yang kukuh serta perbicaraan yang adil di mahkamah mengikut lunas undang-undang yang telus.
Menyedari tekanan yang sedang dihadapi, beliau menitipkan doa dan sokongan moral kepada rakan-rakan kepimpinan yang kini berada dalam radar siasatan pelbagai agensi penguatkuasaan seperti SPRM, LHDN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut menyeru barisan kepimpinan parti agar memiliki daya tahan (resilience) dan stamina politik yang tinggi dalam menghadapi cabaran serta tekanan yang bertali arus.
Tegasnya, pemimpin tidak seharusnya goyah sehingga terpaksa mengikut naratif atau ‘storyboard’ pihak lawan, sebaliknya perlu terus berpegang teguh kepada prinsip dan pendirian parti sendiri demi kebenaran.
#BeritaAAC #GulamMuszaffar #PolitikMalaysia #BarisanNasional #IntimidasiPolitik