KUALA LUMPUR, 31 Ogos 2026 – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) melontarkan persoalan mendalam mengenai erti sebenar kemerdekaan negara sekiranya amalan tatakelola dan peraturan kewangan masih berada di tahap yang membimbangkan serta pincang.
Naib Presiden PUTRA, Dato’ Asmawar Samat menegaskan, matlamat pejuang terdahulu menuntut kemerdekaan pada 1957 adalah untuk membebaskan tanah air daripada eksploitasi ekonomi penjajah, namun semangat murni itu kini dilihat semakin terhakis akibat penyimpangan amalan sistem kewangan semasa.
Menurut beliau, ketirisan tatakelola yang berterusan telah memberi kesan langsung kepada rakyat terbanyak yang kini terpaksa menanggung bebanan kos sara hidup yang kian meningkat di samping ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau memberi contoh rentetan episod ketidakpatuhan kewangan yang tidak berkesudahan—bermula daripada skandal 1MDB pada 2012, disusuli pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) pada 29 Julai lalu, hinggalah kebimbangan isu berkaitan agensi lain seperti FELDA dan KWAP.
Dato’ Asmawar menyifatkan senario ini sebagai bukti jelas bahawa ekonomi negara belum benar-benar bebas, sebaliknya kini dimanipulasi dan dieksploitasi oleh segelintir elit politik, pentadbir dan korporat tempatan.
Beliau turut mengkritik amalan mengetepikan Peraturan Kewangan sedia ada atas alasan mahu memberi ruang kepada anak syarikat kerajaan berskala besar bergerak bebas bagi mengejar keuntungan maksimum.
Hakikatnya, amalan sedemikian tidak membawa pulangan yang diharapkan, sebaliknya menyumbang kepada lonjakan hutang negara yang dilaporkan melonjak daripada sekitar RM800 bilion pada era awal reformasi kepada mencecah RM1.3 trilion di bawah pentadbiran kepimpinan hari ini.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat yang meraikan perbarisan dan kibaran Jalur Gemilang pada hari bersejarah ini agar tidak sekadar bersemangat melaungkan kalimah ‘Merdeka’, tetapi turut bermuhasabah tentang masa depan negara.
Beliau mengajak masyarakat menilai realiti semasa, termasuk kewujudan kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang gah, sama ada ia melambangkan kejayaan atau cerminan kepada gejala rasuah yang masih mencengkam kehidupan rakyat.
PUTRA menegaskan bahawa reformasi sebenar dan pengukuhan integriti kewangan mesti dilaksanakan secara tuntas agar negara tidak terus terperangkap dalam krisis hutang yang berpanjangan.
#BeritaAAC #HariKebangsaan2026 #TatakelolaKewangan #HutangNegara #BanterasRasuah