KUALA LUMPUR – Pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, terus mencetuskan tanda tanya besar dalam kalangan pemerhati politik susulan tindakan pihak pendakwaan mengenakan pertuduhan di bawah peruntukan yang dianggap lebih ringan.
Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Shahrulufti Sharif, mempersoalkan kewajaran pendakwaan yang hanya dibuat di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan gagal mengisytiharkan aset, dan bukannya Seksyen 36(3) yang menuntut penjelasan punca pemilikan harta luar biasa tersebut.
Menurut Shahrulufti, kes ini melibatkan dana luar biasa berjumlah lebih RM169 juta yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen untuk dilucuthakkan kepada Kerajaan pada Oktober 2025 lalu.
Beliau menambah, walaupun wang berkenaan ditemui di premis bekas pegawainya, SPRM mengaitkan aset tersebut dengan Ismail Sabri, di mana kedua-dua pihak dilaporkan tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap proses pelucuthakan itu.
”Soalan utamanya sekarang: Dari manakah datangnya wang tunai RM169 juta tersebut?” tegas beliau dalam satu kenyataan media.
Mengulas perbezaan kedua-dua seksyen berkenaan, Shahrulufti menjelaskan bahawa Seksyen 36(2) hanya membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 kerana sekadar menilai sama ada sesuatu aset itu diisytiharkan atau tidak.
Sebaliknya, Seksyen 36(3) memperuntukkan hukuman yang jauh lebih berat iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai harta berlebihan, yang secara khusus menyiasat bagaimana kekayaan luar biasa itu diperoleh.
Bagi kes berprofil tinggi yang melibatkan rampasan wang tunai sebesar RM169 juta, beliau menegaskan persoalan mengenai punca punca dan sumber pemilikan dana tersebut adalah perkara paling kritikal yang perlu dijawab kepada umum.
Sehubungan itu, PUTRA melontarkan tiga persoalan utama kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan SPRM: sama ada Ismail Sabri pernah diminta memberi penjelasan di bawah Seksyen 36(3); jika ada, adakah penjelasannya memuaskan; dan sekiranya tidak pernah diminta, mengapa pendakwaan hanya terhad kepada Seksyen 36(2).
Tegas Shahrulufti, mendakwa bekas pemimpin negara itu atas kegagalan mengisytiharkan aset langsung tidak merungkai misteri sebenar di sebalik wang RM169 juta tersebut.
”Sehingga persoalan ini dijawab dengan telus, rakyat berhak bertanya sama ada pihak pendakwaan sengaja memilih pertuduhan yang lebih ringan terhadap Ismail Sabri,” ujarnya.
#BeritaAAC #IsmailSabri #Skandal169Juta #SPRM #PolitikMalaysia